Rabiulawal, bulan kepada titik mula rahmat seluruh alam. Rahmat seluruh alam itu dijelmakan dalam rupa seorang lelaki keturunan Quraisy. Hati remaja lelaki itu berbisik perlahan. Remaja yang masih bersekolah menengah, sudah mula memikirkan personaliti yang dicop hebat sepanjang zaman.
Siapa lagi individu tersebut kalau bukan Muhammad bin Abdullah, Rasul Allah, seorang anak yatim piatu, dan pengasas ajaran Islam. Nanti dulu! Nabi Muhammad bukan pengasas agama Islam! Islam diturunkan kepada baginda oleh Allah! Maka menyeleweng pernyataan Nabi Muhammad adalah pengasas Islam. Baginda hanyalah pembawa ajaran Islam sedang tugas baginda diwarisi pula oleh umatnya, itulah kita. Tulisan yang serong ini terkandung dalam buku seorang orientalis.
Otaknya berhenti memproses seketika semasa namanya dipanggil orang. “Woi, Harun!”, sayup panggilan itu menuju dirinya. Oh, rupanya remaja ini namanya Harun, bukan “Woi, Harun”.
Harun menoleh ke belakang kirinya. Seorang yang amat dikenalinya berdiri memicingkan mata di bawah panas terik mentari. Dengan bersahaja, dia melangkah keluar dari teduhan perhentian bas, untuk pulang ke rumah.
Dalam sanubari Harun, dia duduk berteleku di ruang tamu. Mengimbas kembali perangai kurang asam abangnya tadi memanggilnya begitu semasa menjemputnya pulang. Ucapan salam pun tidak disebut abangnya. Harun memikirkan dia tidak patut membiarkan hal abangnya menghantui agenda besarnya hari itu. Kemudian dia menyambung lagi proses otaknya memikirkan personaliti yang diletak Michael H. Hart sebagai individu paling berpengaruh sepanjang zaman.
Harun mencapai lagi buku bertajuk “Sirah 25 Rasul”, dalam buku tersebut kisah hidup Nabi Muhammad lebih terperinci, tempat tinggal Nabi, lahir bila, siapa ibu ayahnya, pekerjaannya di masa muda, siapa sahabat baginda. Dan banyak perkara lagi, kerana itu banyak buku terbit menceritakan baginda dari pelbagai aspek. Bahkan orientalis banyak menerbitkan buku perihal junjungan besar Nabi kita, sama ada menghina, ataupun menghormati peribadi mulia baginda seperti yang dilakukan oleh Karen Armstrong.
Dalam satu bab cerita, baginda dikisahkan berhadapan dengan pelbagai tohmahan dan tentangan oleh masyarakat sendiri. Mereka itu bukanlah sesiapa jua melainkan ada hubungan darah dengan Rasul Allah itu. Bacalah surah Al-Lahab, sempena nama bapa saudara baginda Abu Lahab yang keras membenci ajaran Rasulullah s.a.w.
Sudah adat makhluk yang namanya manusia atau saintifiknya homo sapien ini, orang hebat akan menjadi terkenal setelah kejayaannya tersebar meluas merata tempat. Harun sebagai pelajar sekolah menengah pernah merasa situasi sebegitu. Dia teringat semasa di Tingkatan Satu dahulu, dia sendiri pelajar yang lemah akademik. Entah berapa kali dia disindir macam-macam oleh kawannya, beserta abangnya yang tak cukup belajar agama itu. Selepas tiga tahun, kini di Tingkatan Empat, Harun sudah membuktikan kebodohannya bukanlah diwarisi secara genetik, orang lembap juga boleh berjaya jika mereka mahu. Pada masa dia sudah diangkat sebagai pelajar terbaik aliran Sains, barulah orang yang pernah menghinanya dahulu mendekati dan mengada-ngada untuk menjadi kawan karib Harun. Harun meneruskan pembacaan lagi.
Minat Harun kepada sirah Nabi betul-betul meninggi sejak kebelakangan ini. Layaknya seperti mahakarya cinta pula. Bunyi macam gila, menyayangi orang yang telah tiada. Merindui manusia yang telah mati sejak 1400 tahun dahulu lamanya. Sebagai jawapannya, Harun meningkah, “Semasa nazak baginda menyebut “umatku, umatku”, bukankah lagi dalam rasa sayang Rasulullah kepada kita semua.”
Menjelang malam, Harun melakukan solat sunat dua rakaat. Hatinya gundah tatkala melayari pembacaan tentang kisah kewafatan baginda dan penghinaan berterusan kepada Ahlul Bait, yakni keluarga Nabi Muhammad. Dia sayu, kerana tidak mampu menangis semasa menyudahi riwayat kewafatan Rasulullah, tidak mampu mengalirkan air mata ketika membaca kisah kewafatan puteri baginda Fatimah Az-Zahrah enam bulan selepas kewafatan ayahandanya, juga tidak dapat merasa apa-apa pada detik kematian cucunda baginda Imam Husin yang mati dipenggal di Karbala. Manusia jenis apa aku ini, sedang keturunan baginda terus cuba dihancurkan oleh musuh, dalam dan luar selimut, ayat Harun tadi ditekan disimpan dalam benak sanubarinya. Hanya Allah yang mengetahui.
Tambah memberatkan rasa di dada Harun, ada wujud bermacam-macam ayat untuk menjatuhkan kredibiliti Nabi Muhammad. Sedang pengetahuan dan kefahamannya terbatas lagi terhad. Harun mahu sahaja menjadi serupa Ahmed Deedat dan Dr. Zakir Naik, mereka petah berhujah hingga mampu mengelukan lidah para paderi dan menggigilkan badan pastor-pastor sesat. Apakan daya Harun, hendak berpidato pun mulutnya tersangkut-sangkut menyusun ayat.
Ya, Harun ingat lagi video yang ditayangkan seorang mahasiswa yang jauh lebih berhemah beradab daripada abangnya. Video Ahmed Deedat dengan Pastor Stanley Schoberg. Dalam tayangan video itu, Harun nampak si Pastor Schoberg menggigil satu badan dengan muka yang merah padam, sedangkan seingat otak Harun, Sweeden (tempat perdebatan diadakan) itu jika tidak silap tempatnya sejuk betul iklimnya hasil pembelajarannya dalam subjek Geografi semasa di peringkat PMR dahulu. Baru padan muka pastor sesat itu.
Macam budak sekolah yang mahu menulis esei, Harun menggunakan prinsip MASB2D (Mengapa Apa Siapa Berapa Bagaimana Di Mana) untuk memerah akalnya menjawab persoalan oleh kawan sekolahnya yang berketurunan Tionghua dan berdarah India Hindu, tentang manusia yang bernama Muhammad bin Abdullah. Bezanya Harun tidak menulis esei kali ini. Baru Harun teringat, nama Muhammad ini nama yang paling banyak kedapatan di segenap muka bumi, bukan John, Jack atau Chong. Bahkan ada seorang peninju heavyweight lagenda yang juga bernama Muhammad pada awal namanya setelah memeluk agama Islam.
Mungkin itulah impak pada personaliti hebat ini, Harun berujar begitu semasa dirinya tidak habis membaca sirah Nabi semasa diminta memberi jawapan segera kepada kawannya Teck Chun dan Surej. Sekurang-kurangnya Harun pandai juga memberi jawapan spontan, bak kata orang bandar mengcover diri daripada diketahui orang tidak habis baca buku.
Kini Harun tidak lagi pening untuk menjawab soalan seperti kenapa sahabat seperti taksub dan obses dengan baginda? Bukankah itu macam pengikut ajaran sesat juga, macam Ayah Pin dan Rasul Melayu. Terkadang Harun gelak juga, Rasul Melayu apa bendanya. Hisap rokok depan mahkamah, cakap macam orang tak pandai. Lagi lucu boleh pula dia letak jawatan sebagai Rasul. Untuk soalan taksub atau tidak, Harun yang rajin membaca mengambil hadis daripada baginda yang pernah mengingatkan para sahabat agar jangan mengagungkan baginda seperti mana kaum Nasrani atau orang Kristian mendewa-dewakan Nabi Isa anak Maryam. Selain itu Harun memetik peristiwa baginda menegur para sahabat yang bingkas bangun tatkala baginda tiba, sambil berkata baginda hanyalah manusia biasa seperti mereka.
Dan dalam banyak perkara tentang ibadat, Rasulullah menekankan penggunaan akal serta melakukan ibadat dengan semampu mereka, bukan semahu baginda. Dalam banyak hal Rasulullah berhati-hati melaksanakan ibadat sunat, bimbang akan menjadi hal wajib pula. Harun terfikir pula, adakah mereka pernah tahu hal ini daripada memandai-mandai menuduh bukan-bukan tentang baginda?
Harun bertambah kagum lagi, kerana dakwah baginda berjaya dengan kemanusiaan baginda. Bukanlah melalui mukjizat. Kepimpinan baginda mempunyai pengaruh dan menyerlahkan potensi para sahabat, biar pun ada yang lewat memeluk Islam seperti Abu Hurairah namun muncul sebagai penghafal hadis yang berjaya.
Harun membaca banyak buku tentang sirah Nabi, bertanyakan ustaz sekolahnya yang baik hati persis murabbi, serta “Abang Yazid”, mahasiswa yang sebelum ini menayangkan video Ahmed Deedat di laptop Acernya.
Harun masih lagi belajar dan membaca dari pelbagai sumber, namun Harun kini yakin untuk menjelaskan salah faham berkenaan Rasulullah kepada rakan-rakannya yang diracuni hedonisme serta yang mereka yang non-muslim. Dia bukanlah Dr. Zakir Naik atau pun Ahmed Deedat, namun sebagai remaja dia boleh menjelaskan kepada rakan sebayanya dengan bahasa remaja juga, kata-kata Abang Yazid terngiang di telinganya. Harun gembira dan bersyukur, dia dapat juga membuktikan perasaan itu…
“Harun sayangkan Nabi Muhammad.” Tanyalah Harun perihal Nabi Muhammad, Insya-Allah Harun akan menjawab sedaya yang termampunya. Sebab Harun sudah kenal, dan cinta akan Nabi Muhammad.
Selepas Harun menyudahkan pembacaannya, dan menjawab soalan daripada rakannya, Harun selalu menyudahinya dengan bacaan Surah Al-Asr. ”Semoga kita digolongkan dalam orang yang benar dan berpesan-pesan kepada kebaikan dan kesabaran.”
Oleh Azizul Shaharudin
maaf sebab panjang betul cerpen ni.ambil masa dua hari siap, sebelum dihantar untuk Musabaqah Maulidur Rasul bahagian cerpen. Nak buat artikel, tapi jadi cerpen.maka sebab tu ada rasa-rasa artikel sikit.
ReplyDeletetakpa... sebab bagus jugak kalau ada cerpen.. nak tulis tapi tak pandai, sebab dah lama hibernate... hahahah.. perasan.
ReplyDeleteinsyaAllah..sma2 la kita syang Rasulullah...
ReplyDelete