Apr 25, 2010

CINTA PERJUANGAN

Kepada sahabat-sahabat seperjuangan
marilah kita hayati erti cinta yang sebenarnya...


“Enti menangis..?” “Untuk apa ana menangis, bukankah akhi selalu pesan, jangan menangis kerana manusia.” “Habis, mata enti berair?” “Mata ana masuk habuk. Kebelakangan ni, selalu sangat mata ana ni berair.” Aku tersenyum.


Alasan ni dah lapuk sebenarnya, seingat aku semasa aku berumur 7 tahun, aku sudah tidak percaya alasan ‘masuk habuk’ yang menyebabkan mata seseorang berair. Filem-filem Melayu yang mengajar aku. “Ana tahu enti menangis..” “Tidak…!! Tak faham-faham ke?!” Dia tiba-tiba membentak. “Oklah.. oklah.. mata enti masuk habuk. Ginilah, kapal terbang akan bertolak besok pukul 7.00 petang. Kalau enti nak hantar pun hantarlah. Kalau tak nak pun, kapal terbang tu tetap akan bertolak. Ana pergi cuma 2 tahun, tak lama..” “Insya-Allah ana akan hantar. Tapi kalau ana tak hantar pun, ana harap akh tidak kecil hati. Ana takut berlaku fitnah. Maklumlah, kita bukannya diikat dengan ikatan yang sah lagi. Sekadar pertunangan…” “Pertunangan bukannya ikatan yang sahkah..?” “Bukan itu maksud ana, namun setidak-tidaknya ia kan boleh putus bila-bila masa sahaja. Sekali dihempas ombak, sekali pantai berubah..” “Pantai berubah kerana ombaklah tunangnya. Cuba jika bulan menjadi gerhana, atau matahari hilang sinarnya, berubahkah pantai?” Aku berfalsafah. Dan memang dia akan selalu kalah kalau beradu bahasa denganku. Temannya yang sering dibawa apabila berjumpa denganku tergelak kecil. Satu sokongan moral untukku. “Akh punya pasallah. Ana nak pergi. Jumpa lagi besok. Assalamualaikum..” Aku tidak menjawab salamnya. Bukankah menjawab salam dari seorang wanita yang bukan

mahram hukumnya makruh?


“Ana tak setuju dengan pandangan ustaz!!” Seorang muslimah bangun membentak. Aii.. ada juga yang berani rupanya. “Bukankah demokrasi telah lama memperdayakan kita? Adakah Rasulullah SAW berjuang untuk mendapatkan kuasa baru dilaksanakan syariah seperti yang terdapat dalam hukum demokrasi..?” Dia berhenti seketika. Mengambil nafas rasanya. Ini baru kali pertama aku melihat dia bangun berucap di khalayak. “Kalaulah demokrasi boleh gagal di Turki, boleh gagal di Algeria, kenapa tidak di negara kita? Ustaz bercakap terlalu yakin dengan demokrasi. Di mana pula komitmen ustaz terhadap pembinaan tanzim seperti yang diajar oleh Hassan Al-Banna dan Syed Qutb?”


Suasana semakin bising. Apabila seorang pembentang kertas kerja seperti aku ditentang di khalayak ramai, ia satu kejanggalan yang ketara. Sekalipun Dewan Badar ini sudah cukup sejuk, namun ia tetap ‘hangat’ pada malam ini. “Ana rasa ustazah sudah silap faham terhadap pandangan ana. Ana cuma ingin menyatakan, kadang-kadang demokrasi boleh digunakan untuk mendapatkan kuasa selagi mana diizinkan. Ciri demokrasi yang paling ketara ialah pemilihan pemimpin melelaui majoriti. Bukankah Abu Bakar sendiri dipilih melalui majoriti dan bai’ah? Bezanya, bai’ah dahulu dengan tangan, manakala sekarang dengan menggunakan kertas undi. Yang penting, kerelaaan!” “Baiklah. Cuma ana ingin bertanya, adakah ustaz berpandangan bahawa demokrasi ialah satu-satunya cara untuk memastikan kedaulatan Islam di bumi kita?” “Hmmm.. sehingga sekarang, ya. Kita masih boleh bergerak bebas, gunakanlah ruang yang ada sekadar yang termampu.” “Maaflah ustaz. Ana tidak mampu untuk bersetuju dengan pandangan ustaz.” Dia menamatkan ‘soalannya’ lalu mengambil tempatnya kembali. Aku terkasima sendirian.

“Kau kenal dia Abdullah?” Aku memulakan pertanyaan yang sekian lama tertanam di dalam benakku. Abdullah berhenti menyuap nasi, memaku matanya ke wajahku.

Sekarang aku nekad, sekurang-kurangnya aku harus mengenali orang yang begitu berani menongkah pendapatku di tengah khalayak. Suasana di restoran sup tulang yang biasanya sibuk dengan pelanggan malam ini nampaknya begitu lengang seolah-olah memberikan ruang yang cukup untukku berbicara dari hati ke hati dengan Abdullah. “Ini kali pertama kau bertanyakan soalan kepadaku tentang perempuan. Hai, sudah kau jualkah prinsip kau selama ini. Kau kan tak mahu menjadi hamba cinta?!” Memang hebat Abdullah kalau diberikan peluang untuk menyindir. Mungkin dia terlupa bahawa dia hanya menumpang keretaku untuk datang ke sini atau dia sudah bersedia untuk balik dengan hanya berjalan kaki. “Jawab soalan aku dulu..” “Rupa-rupanya, manusia berhati batu macam kau pun tahu erti cinta…” Abdullah belum puas lagi menyindir nampaknya. “Jawab soalan aku dulu..” Aku memohon untuk kali kedua. “Baiklah Muhammad, aku tahu sejak malam tu kau sebenarnya ingin mengenali dia. Orang seperti kau ni Muhammad hanya akan ‘kalah’ dengan kaum yang spesis dengan kau saja. Maksud aku, yang boleh diajak berbincang tentang perkara-perkara yang kau minati yang kebanyakannya adalah membosankan!” “Jawab soalan aku dulu..” Aku ulangi permintaanku untuk kali seterusnya. “Ok.. dia, namanya kau sudah tahu. Seorang yang pendiam dan suka menulis. Menurut kakakku yang sebilik dengannya, dia ni sering bangun awal. Sebelum pukul 5 sudah di atas tikar sejadah. Bukan macam…” “Aku? Hai.. kau ni silap tuju. Kau yang bangun lewat Abdullah.. ok, teruskan.” “Kalau kat asrama, dia ni suka baca Al-Quran, tak suka bersembang kosong, tak suka jalan-jalan dan banyak lagi yang dia tak suka..” Abdullah dengan selamba menceritakan segala-galanya. ‘Lagi.. negatifnya?” “Negatifnya.. banyak..” Abdullah tersenyum sejenak. Lalu menyambung, “Negatifnya.. pelajaran dia agak sederhana. Tapi bagi aku, itu tidak menjadi masalah. Cuma.. aku tak pasti adakah kau akan setuju dengannya jika aku menyatakan sesuatu.” “Apa dia..? Negatifkah.” “Tidaklah negatif sangat, namun bertentang dengan aliranmu. Dia terlibat dengan satu pergerakan… rahsia! Maksud aku, pergerakan yang memperjuangkan sesuatu yang tidak selari dengan undang-undang demokrasi.” “Gerakan militankah?” “Mungkin, namun aku tak pasti. Sebab aktiviti mereka terlalu rahsia. Kau mungkin maklum, manhaj mereka berasaskan semangat ‘hazar’ yang dididik oleh gerakan Ikhwanul-Muslimin. Ketaatan mereka kepada amir mereka melebihi ketaatan mereka kepada sesiapa saja.. termasuklah ibubapa mereka sendiri!!” “Sampai begitu sekali.. matlamat mereka?” “Sama macam kau, memperjuangkan Islam! Tapi mereka lebih praktikal. Mereka dilatih dengan marhalah-marhalah tarbiyyah mereka sendiri. Dan mereka menyintai syahid. Tidak macam kita rasanya, kita bercakap tentang Islam, tapi kita berehat lebih banyak dari bekerja! Dan kau jangan terkejut kalau mereka sebenarnya mempunyai hubungan dengan rangkaian peringkat nasional malah antarabangsa termasuk gerakan Hamas dan Briged Aqsa di Palestin!”

“Kalaulah.. aku memilihnya menjadi teman hidupku, adakah ketaatannya kepada jemaahnya melebihi ketaatan kepadaku sebagai suami?” Aku mengutarakan soalan bonus untuk Abdullah. “Aku pasti, dia akan memenuhi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Namun kalau kau harap dia akan memecahkan rahsia gerakannya dan menderhakai bai’ahnya kepada jemaah, lebih baik kau bercinta dengan bulan sahaja!”

Aku tidak tahu kenapa aku harus memilih dia. Dia bukanlah yang tercantik di bumi ini. Aku pasti. Tidak juga yang terkaya. Jauh sekali dari yang terbijak di dalam pelajaran. Namun aku yakin, dia yang terbaik untukku. Ciri-ciri muslimah sejati terserlah ketara pada dirinya yang membuatkan diriku terasa tenang sekali apabila memandangnya. Langkahnya yang teratur dan pandangannya yang dijaga adalah benih-benih keimanan yang terserlah dari hati yang dididik dengan ketaqwaan. Tapi persoalan yang dibangkitkan oleh Abdullah membuatkan aku termenung sejenak. Bolehkah aku hidup dengan orang yang berlainan aliran perjuangannya denganku. Bahagiakah aku? “Ustaz sudah fikirkan masak-masak..?” “Bukan setakat masak, ana rasa sudahpun rentung. Cuma bagi pihak ustazah, adakah ustazah setuju menerima ana. Maksud ana, dengan segala kekurangan yang ana miliki.?” “Ustaz orang famous. Siapalah ana. Ana rasa tak layak sebenarnya.” Dia merendahkan diri namun dalam intonasi suara yang masih terkawal. “Ini bukan soal famous atau tidak. Sekurang-kurangnya, sebelum ana ke bumi ambiya’ ana sudah mempunyai ‘ikatan’ di sini. Dan ana memilih ustazah yang ana yakini boleh menjadi ibu kepada anak-anak ana nanti.” Aku berterus-terang. Dari mana datangnya kekuatan untuk berbuat demikianpun aku tidak tahu. “Ustaz tidak main-mainkan ana?” “Hanya orang yang tidak ada perasaan sahaja yang sanggup main-mainkan perasaan orang lain.” “Jemputlah ke rumah, jumpa dengan ibu ayah ana..” Dia terus mematikan talian telefon. Pantas dan cepat. Kak Yang yang aku tugaskan untuk menjadi ‘perisik’ku memang sudah memberikan amaran kepadaku, orang ini jarang sekali bergayut di telefon apatah lagi dengan lelaki bukan mahramnya.


Sudah lima bulan aku di bumi ambiya’, suasana pembelajaran di sini jauh lebih mencabar dari yang kuperolehi di bumi Malaysia. Benarlah kata orang, bumi ambiya’ ini mengajar kita berdikari. Hilang seketika soal cinta dari benak fikiranku. Namun kekadang bayangannya tetap mendatangi ruang mata terutama ketika aku merebahkan badan. Namun seperti yang sering kutegaskan padanya.. “Mungkin cinta ana pada enti sudah cukup besar, namun cinta ana pada ilmu dan juga kepada Allah jauh lebih besar..” dan dia akan terus menyambung, “Mungkin ketaatan ana pada akh cukup dituntut, namun ketaatan ana pada perjuangan dan jemaah lebih-lebih lagi dituntut..” Dan biasanya aku akan ‘cemburu’ dengan kata-katanya. Namun akan terus kubisikkan kepada diriku, bukankah dia taat kepada perjuangan dan kenapa aku harus cemburu. Dia juga berjuang dan perjuangannya juga kerana Allah. Cuma, apa yang menjadi rahsia ialah langkah-langkah pergerakannya yang sehingga kini masih menjadi misteri bagiku. Hari itu, selepas menadah kitab Al-Umm dengan seorang senior di Rumah Melayu, aku bergegas ke Cyber Café yang menjadi rumah ‘kedua’ku. Ku buka laman web Utusan online, satu tajuk berita yang cukup menarik perhatianku, “SEORANG WANITA MALAYSIA TERLIBAT DALAM SERANGAN BERANI MATI DI TEL AVIV’ Ku tinggalkan seketika pelayar web tersebut apabila satu lagi pelayar web menunjukkan mesej : “you have 1 unread message’ namun jangkaanku meleset apabila inboxku hanya dihiasi dengan e-mail dari Abdullah dan bukan dari si dia yang kunanti-nantikan. “Muhammad, kau apa khabar? Muhammad, aku ada satu khabar penting. Aku harap kau tidak terkejut. ‘Dia’ yang kau amanahkan padaku untuk ‘tengok-tengok’ telah diperintahkan bersama-sama kawan-kawannya untuk ke Palestin membantu Gerakan Briged Aqsa melakukan serangan istisyhadiah ke atas Israel. Ini kerana rakyat Malaysia yang memasuki Israel tidak akan diysaki apa-apa kerana dianggap sebagai pelancong. Muhammad, kau lihat tajuk berita hari ini, wanita yang terkorban dalam serangan istisyadiah itu ialah ‘dia’, tunang kau yang kau perintahkan untukku menjaganya.

Maafkan aku Muhammad..!!” Serta merta ku teringat panggilan telefon darinya beberapa hari yang lepas, “Akh, kalaupun cinta kita tidak bertaut di dunia, biarlah ia bertaut di syurga. Kerana cinta kita ialah cinta perjuangan..!!” Seterusnya, aku rebah dari kerusi dan kudapati alam di sekelilingku gelap gelita!

- TAMAT
-------------------------
Inilah cinta kita...cinta mereka yang inginkan cinta Allah…cinta yang tiada taranya…cinta yang mengatasi segala apa di dunia…cinta syahid yang membara…cinta bertemu di syurgaNya...inikah cinta kita? Sejauh mana cinta kita kepada Allah???...Tepuk selera tanya iman di dada…

Petikan artikel oleh Ahmad Fadhli

3 comments:

  1. cerpen yg indah... ^,^ sepa post ni???

    ReplyDelete
  2. Ini cerpen Paidah hantar...Azizul yg letak...bila lagi nak buat cerpen sendiri ni? takkan coy paste je kot.

    ReplyDelete
  3. errr... copy and paste.. ni confirm azizul yg taip ni.. huhuhu... dari typing scheme dah blh agak. InsyaAllah kalau Allah panjangkan idea saya.

    ReplyDelete