Apr 27, 2010

DODOL BERSAMA MUHIBAH





Ramai kata Melayu susah nak bersatu. Yang beragama Islam apatah lagi, pecah menjadi fragmen kecil jemaah-jemaah. Kita tengok pula cara hidup kita. Yang Islamnya lintang pukang entah apa-apa perangai, sosialnya terlebih maju bagai, sedang kes jenayah muncul mencanak-canak. Yang sudah menjadi Islamik, buat muka masam, jadi tidak mesra alam, mahu menjadi serupa Arab. Tapi dalam membaca satu tulisan oleh Hishamuddin Rais, kata-katanya agak mengejutkan. Dan provokatif.

“ Melayu Hanya Bersatu di Perut!”< Ya, sampai sekarang saya masih lagi terbayang kata-kata itu dalam surat beliau yang tersiar di Malaysiakini.com. Berfikir sejenak, ada benarnya. Meskipun tajuk itu berkisarkan kepada kepentingan politik, saya sama sekali tidak menyentuh apa-apa tentang politik kepartian di Malaysia dewasa kini. Tumpuan saya, adalah bersatunya bangsa Melayu Islam tatkala ada majlis keramaian. Kenduri-kendara, dan kerja besar. Bekwoh (Big work) kata orang Kelantan.

Dan Insya-Allah, saya cuba menimbulkan persoalan ini dalam artikel gandingan bersama komik. Kita semua baca sejarah, kita tahu sejarah. Namun pernahkah kita tahu sejarah makanan tradisi yang kita jamah semasa musim perayaan? Dan sejarah bukan sekadar mengenal tahun, peristiwa dan manusia di balik kejadian dalam sejarah. Saya dulu ada terbaca blog seorang sahabat kita. Katanya dia meminati sejarah, mahu tahu lebih daripada isi buku teks. Tetapi, mana buktinya? Atau omong kosong?

Persoalan bab sejarah makanan ini biarlah tuan-tuan yang menjawabnya. Kisah makan ini memang melimpah bagi kita warganegara Malaysia. Bertambah hebatnya lagi semasa kenduri atau majlis keramaian. Selain menjadi meriah kerana makanan yang sedap lagi melazatkan. Ada satu perkara yang orang putih tidak sangka sama sekali. Muafakat.

Atau muhibbah jika tuan-tuan terpana dengan terma muafakat tadi. Persiapan kenduri memerlukan tenaga besar, kerjanya banyak, orangnya perlu ramai. Maka fasal itu gotong-royong diadakan. Lagi pula gotong-royong dalam perkara yang bukan maksiat. Menjamu orang makan, apa yang salahnya? Di kampung dan desa, amalan bergotong-royong dalam merealisasikan kenduri masih diteruskan. Dan saya berdoa agar terus diamalkan. Biar tidak semewah mana, berkatnya Insya-Allah ada dalam saling menolong itu.

Tetapi, yelah tuan-tuan lebih dekat dengan bandar, lebih asyik dengan urban. Urban sana, urban sini, urbanisasi. Mengadakan walimatul urus itu mudah sangat, tidak perlu gembeleng tenaga satu taman perumahan. Apa susah, katering. Atau tempah di hotel. Mudah, selesa, dan tidak panas terik.

Kini untuk menyalurkan tenaga pun sudah berkira pitih dan riyal. Tiada lagi orang yang sukarela membantu, melainkan ada udang sebalik batu. Kos sara hidup tinggi, persaingan mencari wang dan objektif mahu untung sehabis maksimum dan monopoli telah menukar Melayu yang sopan santun kepada yang materialistik. Ketahuilah, sistem kapitalisme sudah mengacau nilai Melayu Islam itu, terutamanya pada muafakat. Muhibah dan silaturrahim yang erat kini dicanang orang melalui konsert hiburan. “Jom Kecoh”, atau hiburan lain yang tiada hujung pangkal dan hala. Mengapa tidak buat upacara amal mengacau dodol? Dapat pengalaman, dapat jua membantu yang memerlukan.

Saya percaya muhibah yang dipupuk dengan acara entah apa-apa itu adalah muhibah palsu. Palsu sesungguhnya.  Mahu melaksanakan nilai yang murni melalui aktiviti hina sebegitu, itu hasil fikir pak turut Barat. Atau patut saya sebutkan Zionis di sini? Kita sama-sama mengingatkan, marilah hulurkan bantuan tanpa mengharapkan apa-apa selain keredaan Allah. Bukankah kita saling memerlukan. Kerana itu manusia saling menguatkan satu sama lain. Juga kerana manusia itu “social being”, juga “spiritual being”.

Kuatnya Melayu itu kerana Islam. Kuatnya akhlak Islam itu kerana akidah tauhid. Tidak, saya di sini bukan sebagai pembakar sentimen perkauman. Rasiskah saya dan orang lain yang menyeru bangsa sendiri untuk bangun? Supaya kembali kepada nilai murni yang kita muliakan dahulu? Saya mengulang kata Almarhum Malik As-Syabaz atau Malcolm X, “Saya bukan rasis dalam apa bentuk sekali pun. Yang saya percaya hanyalah Islam.” Biarlah tuan-tuan yan tentukan.
Wallahualam.

(komentar: Sebenarnya saya mahu mengulas asal idea komik kali ini, dari novel Ketupat Cinta Musim Pertama oleh Faisal Tehrani. Namun dek satu chapter yang kontroversi, saya bantutkan niat itu. Dan sebahagian isin novelya saya kiaskan dalam tulisan tadi. Sepuluh jari disusun, minta ampun.)

Ini adalah pesanan Shahrul Amin dari komik Dodol dan Muhibah tadi. Selingan pada cakap-cakap tentang dodol ni.
Baru saya ingat, di sebelah keluarga bapa yang keturunan Cina tu, kuih dodol ini menyamai satu kuih tradisi orang Cina yang dipanggil Nien Kau. Sama macam dodol, Nien Kau pun guna tepung pulut dan gula, kecuali tak dimasukkan santan dalam acuan macam dodol. Bapa kata dodol mungkin lagi sedap pasal ada rasa berlemak dari bahan santan tu.

Ni resipi untuk buat dodol, bahannya ialah: segantang tepung pulut, 3 liter air suam, 2 liter santan pekat, 3 kilo gula melaka, juga 3 kilo gula pasir.
Cara nak buatnya: bancuh tepung pulut dengan air suam. Masukkan bancuhan dalam kuali dan masak atas api sederhana. Bubuhlah gula melaka dan gula pasir bersama. Kacau selalu adunan supaya tak melekit. Masaklah hingga benar-benar likat. Biarkan dodol sejuk, selepas sejuk barulah dodol kita ni boleh dipotong.

4 comments:

  1. ni adaptasi longgar kpd novel ketupat cinta.yg elok kita ambil,itu je.mungkin sy akan buat lagi macm ni,cerita pasal makanan.

    ReplyDelete
  2. wah,cnggih jgk idea komik ni.bijak lah lelaki yg pakai spek tu.mgkin pasal tu dia pakai spek kot.

    ReplyDelete
  3. saya rasa komik ni ada beza: muslimin wataknya macam gila-gila sikit dan cool.bila lukis watak muslimat jadi comel dan berhemah.yang lelaki banyak pasal ilmiah dan. yang perempuannya banyak pasal emosi dan perasaan. betul ke?

    (Bila Eri nak muncul kembali?)

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum, komik ni mmbawa mesej yang baik dan terima kasih kerana share..

    ReplyDelete