Apr 1, 2010

[Ceramah] Persepsi Sebelum & Selepas Mengkaji Islam

Berikut adalah sebahagian isi penyampaian Brother Lim, bukan ulasan kepada ceramah beliau. Yang menghakimi dan menentukan kebenarannya hanyalah anda para pembaca yang menyinggahi mata di laman ini. Saya hanya menyusun, dan meringkaskan sebahagian isi–isi ucapan beliau dengan ingatan yang terbatas ini.

Nama asal yang masih dikekalkan
Selalunya ramai saudara baru dipaksa menukar nama, terutamanya nama bapa atau nama keluarga kepada Abdullah. Sebenarnya itu bukan amalan dalam Islam, lebih kepada budaya di Nusantara sahaja. Betapa ramai orang yang tidak mahu memeluk agama Islam kerana tidak mahu menukar nama keluarga. Saya sendiri masih mengekalkan nama Lim Jooi Son, yang sekarang sudah ada tajwid. Lim adalah nama keluarga, dan Jooi adalah nama keturunan dan nama saya mempunyai maksud baik, iaitu “menuju kejayaan”. Selagi nama itu maksudnya baik, dalam bahasa apa pun nama individu itu tetap nama Islam. Dan bukan semua nama dalam Bahasa Arab membawa maksud yang baik.



Islam agama yang praktikal sebenarnya
 Sebelum memeluk agama Islam, saya dahulu mempunyai pandang sisi yang buruk kepada Islam. Itu haram, ini haram, banyak betul yang tak boleh. Islam ini agama yang banyak pantang larangnya. Sampailah saya mengkaji betul-betul agama ini, Alhamdulillah Islam ini agama yang sangat mudah dan praktikal. Yang haramnya sedikit sahaja, tak boleh makan “kerbau pendek” (khinzir), dan haram minum arak. Yang halal banyak, berjuta-juta. Kenapa Allah haramkan benda iu semua? Sebab Allah sayangkan kita. Saintifiknya, dah terbukti dalam daging “kerbau pendek” itu sahaja lebih 70 penyakit berbahaya sudah dikesan. Arak, kita semua tahu minum arak boleh bagi peminumnya buat macam-macam jenayah. Rompak, bunuh, rogol, sumbang mahram dan kemalangan boleh terjadi pasal minum arak. Berkenaan isu Islam ini sebenarnya mudah, Rasulullah pernah menyebut “Permudahkan, dan jangan menyusahkan”.

Kenapa ada orang dilahirkan dalam keluarga bukan Islam
Dahulu saya pernah menerima tohmahan, “Kamu Cina kafir, masuk neraka. Saya Melayu, masuk syurga”. Saya tanya kenapa, dia jawab, “Sebab takdir”. Kalau macam itu Tuhan ini tidak adillah pada manusia. Selepas sudah mengkaji dan belajar, saya yakin Tuhan itu amat adil. Semua orang dilahirkan dalam fitrah, suci bersih, asalnya dalam Islam (bukankah Islam itu agama fitrah). Ibu bapanyalah yang mencorakkan anaknya itu Nasrani, Yahudi atau Majusi. Allah tidak memilih manusia ikut bangsanya, tetapi berdasarkan siapa paling bertakwa. Lahir dalam keluarga Islam belum tentu masuk syurga. Lahir dalam keluarga musyrik, belum tentu masuk neraka.

Poligami
Kononnya poligami ini banyak yang tidak adilnya kepada kaum perempuan, menindas wanita. Poligami dalam Islam sebenarnya bertindak sebagai jalan keluar kepada masalah sosial yang berlaku sekarang. Di mana-mana negara pun, perempuan lagi ramai daripada lelaki. Kalau semua lelaki kekal dengan seorang isteri sahaja, macam mana nasib wanita yang selebihnya. Yang tidak dapat kahwin ada tiga pilihan sahaja, pilihan yang ditawarkan agama lain. Pertama, menjadi anak dara tua, yang kedua dengan mengenakan bayaran, dan bawalah ke mana-mana macam bas (zina). Yang ketiga, hubungan sejenis, terus terbabas. Dengan poligami, nasib wanita terpelihara dan naluri mereka yang mahu disayangi dapat dipenuhi. Saya ada satu point lagi, yang perempuan sebenarnya setuju dengan poligami. Biasanya yang tidak setuju ni isteri pertama. Isteri kedua, ketiga, dan keempat semuanya reda dan setuju. 75 peratus perempuan setuju dengan poligami ini. Buat lelaki pula, boleh sahaja kahwin sampai empat, namun jika tidak boleh berlaku adil, lebih baik kahwin satu. Kahwin ini diibaratkan macam mendirikan masjid, kan? Jika satu masjid pun belum cukup hidup dengan sembahyang jemaah, tazkirah dengan pengisian lain, baik jangan cari nahas nak buat masjid lain. Islam menekankan monogami, sambil menawarkan poligami sebagai jalan keluar.

Isu nama Allah dalam terjemahan Bahasa Melayu akhbar Katolik
Masa isu ini tengah hangat di Malaysia, ramai pula yang muncul tiba-tiba muncul jadi pakar Bible dan Kristian. Ramai yang bagi fatwa, sampai ada campur tangan politik. Sepatutnya rujuklah pada pakar perbandingan agama dahulu. Allah itu tuhan kepada siapa? Dalam surah Al-Fatihah yang kita selalu baca dalam sembahyang, disebut “Alhamdulillahi rabbil A’lamiin” bermaksud Segala puji bagi Tuhan sekalian alam. Kita tak sebut “Alhamdulillahi rabbil muslimin”. Allah is for all. Allah itu Tuhan segala alam, bukan bagi orang Islam sahaja. Di Sabah ini, takde masalah pasal isu ini, sebab dah lama pakai. Di Semenanjung je sensitif, sebab risau ramai orang Islam keliru.

Cara berdakwah
Untuk orang Kristian, kita cari persamaan. Mereka beriman dengan Jesus, kita pun percaya pada Jesus. Selepas itu, kita cuba buktikan pada mereka Jesus itu lebih dekat kepada muslim daripada Kristian. Jesus selalu sujud meletakkan kepala di tanah, sama macam cara orang Islam bersolat. Jesus selalu menyebut Shalom bila berjumpa orang, serupa orang Islam memberi salam. Buat peringkat awal, bagi soalan mudah pada mereka. Kemudian bila mereka dah tambah yakin, bagi soalan susah sikit. Kita bagi muka jugalah pada mereka, cakap boleh minta paderi tolong jawabkan ke. Untuk orang ateis ini, kita kena pakai lojik dan sains untuk berdakwah kepada mereka. Terangkan pasal big expansion (big bang kurang tepat). Hakikat penciptaan ini kena terangkan dari ayat Al-Quran yang ada sebut pasal penciptaan langit dan bumi.

Sebenarnya banyak lagi nak dimuat, tapi bimbang makin banyak tulis ayat makin salah maksud. Saya mampu setakat ini sahaja, memuatkan isi yang saya ingat dan macam menarik bagi saya. yang lain itu, para pembaca boleh cari dari sumber lain.

OLEH: AZIZUL SHAHARUDIN, 31 Mac 2010.

3 comments:

  1. sayang..takde gambar nak jadi bukti program tu ada.

    ReplyDelete
  2. nanti akan ku update kan, tidak sempat mau pegi minta2 gambar tu... T_T

    ReplyDelete