Jan 17, 2010

Gemilang di Sebalik Tembok Besar [bahagian1]

Alhamdulillahi Rabbill A’lamin. Maha Suci Tuhan Sekalian Alam, yang menciptakan manusia daripada pelbagai bangsa, termasuklah bangsa Cina dengan budaya tersendiri. Budaya Cina dalam masyarakat Cina sangat kuat, sehinggakan semasa era penjajahan Manchuria, golongan pemerintah tidak dapat tidak menyerap unsur keCinaan dalam rejim pemerintahan mereka. Masyarakat Cina yang beragama Islam juga tidak terkecuali, mereka masih mengangkat adat resam masyarakat Cina yang disesuaikan dengan akidah Islam melalui asimilasi dalam seni bina, tulisan, makanan dan seumpamanya.

Kedatangan Islam di China diperikan berdasarkan beberapa cara. Cara pertama, Rasulullah mengutuskan para sahabat untuk berdakwah di sana. Pada masa tiada Internet mahu pun pesawat terbang, dakwah dahulu dilakukan dengan seribu satu kepayahan. Dalam konteks dakwah ke China,
kepayahan itu menjelma sebagai jarak yang amat jauh antara Tanah Hijaz dan China. Hanya ada dua jalan untuk ke China; jalan darat dan jalan laut. Para sahabat memilih perjalanan darat dan mendirikan tempat persinggahan.

Dari tempat persinggahan itu, telah muncul penempatan umat Islam. Hari ini kita masih boleh menemui makam sahabat di sebelah barat negara China.

Cara kedua pula mensabitkan kedatangan Islam melalui laluan sutera atau Silk Road tatkala terjemahan langsung diperlukan di sini. Laluan sama juga pernah digunakan Marco Polo semasa era pemerintahan Kublai Khan. Pedagang Arab menggunakan laluan tersebut untuk berdagang ke Timur (India). Maka tidak hairanlah, apabila ada teori Melaka menerima syiar Islam melalui pedagang Arab atau Cina.

Cara yang ketiga mungkin berbaur gatal-gatal keladi, yakni kahwin campur (sukanya). Perkahwinan itu bukankah sunnah Nabi, buat apa malu untuk berkata, “ Oh mama, saya mahu kahwin.” Namun buat masa ini, tiada ingin di hati untuk mengulas konsep “Aku Terima Nikahnya”, kerana itu adalah cerita lain pula.

Jika berpeluang berkunjung ke wilayah-wilayah Xinjiang, Qingshai dan Ganshu serta Ninxia kita akan dapat melihat etnik yang tinggal di sana mempunyai wajah yang mirip orang Arab, Parsi atau Pakistan. Macam iras Aiswarya Rai (sekarang Aishwarya Bachan) juga kedapatan di sana. Ada pula berwajah campuran, bermata sepet, berkulit putih kemerahan dan berhidung mancung.

Untuk bertambah suka lagi, Islam menggalakkan perkahwinan campur sebagai mekanisma mengeratkan silaturrahim sesama insan dan kaedah dakwah yang berkesan…jika disertakan dengan niat dan cara yang betul. Mungkin ada betulnya persepsi masyarakat bahawa anak yang lahir daripada perkahwinan campur berpotensi menjadi individu yang bijak dan cantik paras rupanya. Mana tahu selepas ini pembaca mula memasang hajat berkahwin campur. Insya-Allah, semoga makbul hendaknya doa itu.

Umat Islam di China sudah wujud lebih lama berbanding masyrakat Islam di Malaysia, dan hingga kini mereka masih mempertahankan nilai dan ajaran Islam biarpun menghadapi tekanan oleh pihak pemerintah. Tatkala agama-agama lain hampir dipupuskan puak komunis semasa Revolusi Kebudayaan pada 1960-an, Islam masih dapat berdiri teguh dengan rumah-rumah Allah. Sebagai bukti Allah tetap memelihara agama dan umat Islam yang mempertahankannya, bahkan komunis sedikit pun tidak berjaya mengugat iman dan akidah Islam Muslimin Musliman negara China.

Berapa ramai telah mengetahui kisah masyarakat Islam di China ditangkap apabila diketahui berpuasa di bulan Ramadan? Atau kisah beberapa imam masjid ditahan kerana menguruskan perjalanan haji jemaah Muslim negara China? Kita tidak dapat mengetahui semua namun sekurang-kurangnya kita masih mahu prihatin terhadap saudara kita yang nun jauh di sana. Dan penulisan ini sebahagian daripadanya. Insya-Allah, saya akan sambung lagi bicara Islam di China. Maka marilah kita sudahi dengan Surah Al-Asr (tidak perlu baca kuat-kuat di hadapan skrin komputer).

No comments:

Post a Comment