Jan 20, 2010

By Any Means Necessary


Dimulakan dengan bismillah, berikut merupakan terjemahan langsung daripada satu artikel Bahasa Inggeris yang saya perolehi dalam portal iluvislam.com, memandangkan artikel dalam Bahasa Inggeris dipandang sepi para pencinta Islam di Malaysia. Tanpa mahu mensia-siakan artikel yang sebegitu bagus, saya memilih langkah ini.

Malcolm Little

“Saya bukan rasis dalam apa bentuk sekali pun. Saya tidak percayakan sebarang sentimen perkauman. Saya juga tidak percayakan sebarang diskriminasi atau pembezaan. Yang saya percaya hanyalah Islam.”

Malcolm Little atau lebih dikenali sebagai Malcolm X menyertai Nation of Islam ketika dipenjarakan dalam usia 20-an. Dibebaskan pada tahun 1952, Malcolm X menuju ke Detroit, melibatkan diri dalam kegiatan harian pertubuhan itu, yang dipimpin oleh Elijah Muhammad ketika itu.

Walaupun Malcolm lantang menyuarakan bantahan kepada ketidakadilan terhadap kaum kulit hitam di Amerika, sentimen perkauman yang sama dalam Nation of Islam menghalang beliau daripada menerima mana-mana orang kulit putih yang ikhlas dan mampu menolong menjernihkan keadaan. Selama 12 tahun beliau menyebarkan dakwaan bahawa Yang Dihormati Elijah Muhammad adalah utusan Allah dan orang putih sebagai syaitan, serta ramalan kaum kulit hitam akan tetap kembali ke tingkat teratas dalam lapisan masyarakat.

Beliau seolah-olah menjadi “ anti-kulit putih” sepanjang pembabitan beliau dalam Nation of Islam, mungkin sekali disebabkan pengalaman hidupnya sebelum itu.

Pengalaman semasa mengerjakan haji

Pada 13 April 1964, Malcom pergi mengerjakan haji di Mekah dan kemudian beliau mula menilai kembali dirinya. Ujar beliau:

…Sebaik sahaja siap berpakaian ihram, kami mula melaungkan “LabbaikAllah humma Labbaik!” Bersama-sama dalam pesawat adalah mereka yang berkulit putih, hitam, perang, merah dan kuning; bermata biru dan berambut keemasan, dan yang berambut kerinting-bersama-sama, semuanya bersaudara! Mereka memuji Tuhan yang sama, serta menghormati yang lain tanpa ada beza.

…Di Amerika, maksud “kulit putih” menjurus kepada sikap dan perbuatan kepada orang kulit hitam dan bangsa lain yang bukan “kulit putih”. Waima dalam dunia Muslim, saya melihat orang-orang putih lebih mesra daripada yang pernah saya jumpa sebelum ini. Pagi itu merupakan titik mula untuk perubahan radikal pandangan saya tentang orang “putih”.

Terdapat lebih 10 ribu jemaah haji dari serata dunia. Ada pelbagai warna, daripada yang bermata biru hingga orang Afrika berkulit hitam. Namun kita semua melakukan ibadah yang sama simbolik kepada persepaduan dan persaudaraan yang saya tidak percaya penyatuan itu akan wujud antara orang putih dan bukan orang putih selama saya di Amerika.

…Di sinilah timbulnya keperluan bagi Amerika memahami Islam, kerana agama ini yang boleh memadamkan masalah perkauman dalam masyarakatnya. Selama kembara saya dalam dunia Muslim, saya telah bertemu, berbual, dan makan bersama mereka yang dianggap “kulit putih”—namun Islam telah membuang sikap “kulit putih” itu jauh daripada minda mereka. Tidak pernah sebelum ini saya melihat keikhlasan dan persaudaraan sejati yang diamalkan oleh semua warna kulit,tanpa mengira mana-mana bangsa.

Semasa mengerjakan haji, Malcom sempat menulis surat kepada pembantunya yang bertapak di masjid baru di Harlem. Beliau meminta agar suratnya disalin (duplicated) dan dihantar ke media akhbar:

Belum pernah saya menyaksikan kesantunan dan limpahan semangat persaudaran yang tulus oleh semua bangsa dan warna kulit di Tanah Suci Mekah, tempat asal Nabi Ibrahim,Muhammad dan Nabi lain yang disebut dalam Kalam Suci. Selama minggu lalu, saya kagum dan terkesima dengan kebaikan yang saya lihat sekeliling oleh mereka yang pelbagai warna.

Saya bersyukur dapat menjengah Kota Mekah,bertawaf 7 kali mengelilingi Kaabah, sambil dipimpin Mutawaf muda; Muhammad namanya, meneguk air dari Telaga Zam-Zam, melakukan sai’ie tujuh kali antara Bukit Safa dan Marwah. Saya telah bersolat di Mina, juga pernah bersolat di Arafah.

Ada lebih 10 ribu jemaah haji dari serata dunia. Dari semua warna kulit, daripada yang bermata biru hingga orang Afrika berkulit hitam. Namun kita semua melakukan ibadah yang sama simbolik kepada persepaduan dan persaudaraan yang saya tidak percaya penyatuan itu akan wujud antara orang putih dan bukan orang putih selama saya di Amerika.

Di sinilah timbulnya keperluan bagi Amerika memahami Islam, kerana agama ini yang boleh memadamkan masalah perkauman dalam masyarakatnya. Selama kembara saya dalam dunia Muslim, saya telah bertemu, berbual, dan makan bersama mereka yang dianggap “kulit putih”—namun Islam telah membuang sikap “kulit putih” itu jauh daripada minda mereka. Tidak pernah sebelum ini saya melihat keikhlasan dan persaudaraan sejati yang diamalkan oleh semua warna kulit,tanpa mengira mana-mana bangsa.

Anda mungkin terkejut dengan kata-kata saya. Tetapi dalam haji ini, apa yang saya lihat, dan alami, telah menyebabkan saya menilai kembali corak pemikiran saya dahulu, dan membuang sebahagian daripada pendirian lalu. Ini tidak menyukarkan saya. Biar pun dengan keyakinan saya yang kukuh, saya akan tetap menjadi orang yang cuba menerima kebenaran dan fakta, terbuka kepada realiti hidup sebagai pengalaman baru dan pengetahuan baru yang sudah tersingkap. Saya sentiasa membuka minda, yang mana penting untuk kesesuaian yang mesti disampaikan dalam semua rupa pencarian ilmiah menuju kebenaran.

Sepanjang 11 hari di sini (Mekah) dalam dunia Muslim, saya telah makan dari pinggan yang sama, minum dari gelas yang sama, tidur di atas tikar yang sama - sambil beribadah kepada Tuhan dengan saudara Muslim, yang biru warna matanya, perang keemasan warna rambutnya dan mereka yang putih kulitnya. Dan dalam perkataan dan perbuatan Muslimin kulit putih, saya merasai ketulusan yang saya dapati di kalangan Muslimin Afrika berkulit hitam dari Nigeria, Sudan dan Ghana.

Kami sememangnya tidak berbeza dan bersaudara – kerana kepercayaan kepada Tuhan yang Esa telah menghilangkan sentimen “kulit putih” daripada minda mereka, dan daripada sikap mereka. Dari sini saya melihat, jika rakyat Amerika kulit putih dapat menerima konsep KeEsaan Tuhan, maka mungkin sekali, mereka dapat menerima secara realiti Kesatuan Manusia – dan berhenti untuk mengukur, menangguh dan mengganngu orang lain dalam aspek perbezaan warna kulit.

Dengan sifat perkauman merosakkan Amerika seperti barah yang tiada penawar, mereka yang mengaku sebagai “Kristian” kulit putih sepatutnya menyetujui penyelesaian yang kukuh terhadap masalah kritikal ini. Mungkin masih sempat untuk menyelamatkan Amerika daripada bala yang pasti – bala yang sama dibawa ke atas German oleh virus perkauman yang akhirnya memusnahkan German sendiri.

Setiap masa di Tanah Suci membolehkan saya memiliki kesedaran rohani yang lebih tinggi tatkala memperihalkan apa yang berlaku di Amerika; antara kulit hitam dan kulit putih. Orang Negro Amerika tidak patut disalahkan atas permusuhan kaum yang kuat di kalangan mereka – mereka hanya bertindak balas kepada perbuatan perkauman selama 400 tahun oleh orang putih. Namun apabila perkauman memacu Amerika ke arah kehancuran, saya percaya, hasil pengalaman saya dengan mereka, generasi muda kulit putih, di kolej serta universiti, akan melihat tulisan pada dinding dan ramai daripada mereka menuju jalan spiritual kepada kebenaran – cara itu sahaja untuk menghindar bencana yang dibawa sentimen perkauman.

Tidak pernah saya berasa dihormati. Tidak pernah saya merasa rendah diri dan tidak berguna. Siapa yang akan percaya bahawa rahmat turun memayungi seorang Negro Amerika? Beberapa malam yang lalu, lelaki yang mana di Amerika digelar sebagai kulit putih, diplomat PBB, seorang duta, teman kenalan raja-raja, memberikan suite beliau di hotel, katil beliau. Tidak terfikir dalam impian saya bahawa saya dapat menerima nikmat begitu – nikmat yang mana di Amerika hanya diberi kepada Raja – bukannya Negro.

Segala puji hanyalah kepada Allah, Raja sekalian alam.

Ikhlas daripada,

Al-Hajj Malik El-Shabazz

Kembalinya Malcolm dari haji sebagai El-Hajj Malik El-Shabazz. Beliau membawa semangat membara dengan kesedaran yang baru. Baginya, perjuangan telah berubah daripada perjuangan hak rakyat oleh seorang nasionalis kepada perjuangan hak manusia oleh seorang internasionalis dan aktivis kemanusiaan (humanitarian).

Pasca kembara haji

Wartawan kulit putih serta orang lain sangat mahu mempelajari pandangan baru El-Hajj Malik terhadap mereka. Sukar untuk dipercayai bahawa lelaki yang sebelum ini mengatakan mesej permusuhan kepada mereka boleh berubah dan memanggil mereka saudara. Kepada mereka ini El-Hajj Malik telah berkata:

Anda bertanya “Bukankah tadi anda menerima orang kulit putih sebagai saudara?” Jawapan saya ialah dalam dunia Muslim, saya melihat, saya merasa, dan saya menulis kembali betapa pemikiran saya sudah diluaskan! Seperti yang saya tulis, kasih kasang saudara-saudara sejati dengan Muslim kulit putih, yang langsung tidak berprasangka dan membezakan bangsa sesama Muslim.

Pemergian haji telah meluaskan pandangan saya. Saya dikurniakan dengan satu kesedaran. Dua minggu di Tanah Suci, saya telah melihat perkara yang tidak pernah berlaku di Amerika. Saya melihat semua bangsa, semua warna-yang berambut perang bermata biru dan orang Afrika berkulit hitam-dalam persaudaraan sejati! Menyembah kepada yang Satu! Tiada perbezaan, tiada liberalis; mereka sendiri tidak tahu menjelaskan makna perkataan tadi.

Ya. Pada masa lalu saya terus menuduh melulu terhadap orang kulit putih. Saya tidak akan rasa bersalah lagi—dan saya tahu ada orang kulit putih yang ikhlas, yang mana mereka benar-benar mampu bersahabat dengan orang kulit hitam. Islam yang sebenar telah menunjukkan dakwaan menghukum semua orang putih sama sekali salah seperti orang putih menuduh semua orang hitam.

Bagi orang kulit hitam yang semakin ramai menyokong beliau sebagai pemimpin, El-Hajj Malik menyampaikan mesej baru, sama sekali bertentangan dengan mesejnya semasa beliau menjadi orang kuat Nation of Islam.

Ajaran Islam yang sebenar mengajar saya bahawa semua ramuan keagamaan, politik, ekonomi, psikologi, dan bangsa, bagi membentuk Keluarga Manusia dan Masyarakat Manusia yang lengkap.

Sejak mengetahui kebenaran di Mekah, sahabat-sahabat karib saya adalah dalam pelbagai jenis—Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu, antagonistik bahkan ateis! Saya juga mempunyai kawan daripada kalangan Kapitalis, Sosialis, dan Komunis! Sebahagian kawanku ada yang bersederhana, konservatif, ekstremis, --ada juga yang menjadi orang kulit hitam yang dihambakan (Uncle Tom)! Sahabat saya kini adalah mereka yang berkulit hitam, sawo matang, merah, kuning dan putih!

Saya katakan kepada pendengar di jalanan Harlem bahawa apabila manusia menyerah kepada Yang Maha Esa pencipta segala-galanya—barulah mereka dapat mengecapi keamanan yang sering kali banyak didengari,… tetapi menuju sesuatu yang amat jarang dilakukan dan dilihat.

Legasi El-Hajj Malik

Bertarikh 21 Februari 1965, El-Hajj Malik ditembak mati oleh tiga orang kulit hitam, semasa bersiap untuk berucap di Hotel New York. Walaupun terang-terangan Nation of Islam terlibat dalam pembunuhan ini, ramai yang percaya lebih daripada satu organisasi terlibat. FBI yang diketahui concong kepada anti-kulit hitam turut dikaitkan sebagai rakan subahat.

Pengalaman hidup beliau telah menginspirasikan rakyat Amerika dalam banyak sudut. Perubahan beliau mempengaruhi anak Elijah Muhammad, Wallace Muhammad yang selepas kematian ayahnya, memimpin pengikut Nation of Islam menuju Islam yang sebenarnya. Keturunan Afrika-Amerika turut tergerak untuk kemabali ke akar Islam mereka sejak kematian beliau. Mesej beliau mudah dan jelas:

“ Saya bukan rasis dalam apa bentuk sekali pun. Saya tidak percayakan sebarang sentimen perkauman. Saya juga tidak percayakan sebarang diskriminasi atau pembezaan. Yang saya percaya hanyalah Islam.”

13. Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. (surah Al-Hujurat: 13)

Ulasan penterjemah

Mungkin ramai yang memberi ulasan, menterjemah ini lebih kurang melakukan plagiat. Silap sekali pandangan segera yang macam itu. Pertama sekali, saya memberikan kredit kepada ibnu affandi, penulis artikel asal dalam iluvislam.com. Sekurang-kurangnya kerja menterjemah ini dapat mendekatkan saya dalam memahami seorang tokoh hebat. Saya juga dapat merasai, melakukan terjemahan bukanlah kerja mudah, apatah lagi memilih kata yang sesuai bagi konteks ayat.

Sekiranya kesilapan ada dikesan (harap dapat dikesan), cepat-cepatlah mengedit atau memberi respon atas khilaf yang terjadi.

No comments:

Post a Comment