Jan 15, 2010

Gemilang di Sebalik Tembok Besar




(gambar adalah perhiasan ^,^)

Tanyalah pada mana-mana penghafal buku teks Sejarah Tingkatan 4 dan Tingkatan 5, atau pun penghafal nota Tamadun Islam dan Asia (TITAS), tempat manakah yang dikaitkan dengan Zaman Emas Tamadun Islam? Senang sahaja, Tanah Arab, Mesir, Andalusia dan Turki. Pandainya…

Dengan sopannya, jawapan ringkas tadi adalah betul, tiada pula silapnya. Namun, para penghafal teks skema tadi terlupa atau tidak tahu atau kedua-duanya sekali, bahawa sinar Islam itu menyinari seluruh pelusuk alam. Barangkali kita langsung tidak terfikir bahawa Nabi Muhammad pernah mengirimkan para sahabat untuk berdakwah ke China.

Berkat usaha mereka, lebih 136 juta umat Islam China berjaya dilahirkan pada hari ini (Populasi Malaysia baru sahaja 25 juta). Antara nama sahabat yang selalu disebut atas kejayaan ini adalah Saad bin Abi Waqqas, yang mana isu ini mungkin boleh diperdebatkan kerana Saad bin Abi Waqqas merupakan panglima perang dan terlibat dalam banyak siri peperangan hingga meninggal dunia di Madinah. Adalah mustahil beliau dapat bertandang ke China berdasarkan kenyataan tadi. Namun boleh jadi Saad bin Abi Waqqas yang dimaksudkan adalah sahabat Rasulullah atau orang lain yang mempunyai nama yang sama datang ke China.


Lama sebelum Dasar Pandang ke Timur diperkenalkan Tun Dr. Mahathir, para sahabat diperintahkan supaya belajar empat perkara daripada orang Cina; cara membuat kertas, cara membuat sutera, kaedah penghasilan mercun, serta teknik menghasilkan tembikar.


Pencipta dan pengguna pertama kertas adalah orang Cina. Kertas yang dihasilkan juga bermutu tinggi, memudahkan sebarang penulisan ke atas kertas. Melalui kertas, ayat-ayat Al-Quran dapat disimpan dan direkodkan dengan baik seterusnya boleh disebarkan ke merata tempat di dunia.


Bagi sutera pula, penghasilan sutera bukanlah sebagai pemakaian pada tubuh semata-mata. Lelaki Muslim diharamkan mengenakan pakaian yang diperbuat daripada sutera. Hanya wanita sahaja yang boleh memakainya tanpa was-was. Di sebalik kegunaan konvensional sutera sebagai fabrik pakaian, sutera turut digunakan sebagai penyimpan senjata dan pembalut pedang, kerana kualitinya tinggi, tahan lasak dan ringan bagi kegunaan di medan pertempuran.


Berbanding kegunaan mercun dewasa ini yang menjurus kepada konsep sakat-menyakat dan berseronok, mercun atau bahan letupan lain ketika itu amat berkesan dalam menakutkan dan mengelirukan pihak musuh. Taktik yang bijak ini melengkapkan kemenangan tentera Islam selepas mendapat pertolongan Allah.


Perkara keempat yakni mempelajari teknik membuat tembikar. Masyarakat Arab dahulu menyimpan air dalam bekas tembikar, yang mana boleh memudaratkan diri apabila air yang disimpan terlalu lama akan menjadi beracun. Tembikar Cina pula berkualiti tinggi (dan cantik). Ilmu kemahiran bangsa lain patut dipelajari untuk manfaat umat Islam juga hendaknya, di samping menjalankan misi menyebarkan akidah mengesakan Allah. Semoga mereka orang Islam yang menguasai kemahiran-kemahiran ini dirahmati Allah.Ameen.


Berbalik kepada sejarah kedatangan Islam di China, sungguh pun tiada tarikh tepat bila syiar Islam sampai ke negara China, direkodkan jalinan hubungan diplomatik Khalifah Usman bin Affan dengan Dinasti Tang. Rekod tersebut meriwayatkan tiga orang dari Madinah menyembah langit (daripada sudut pandangan orang Cina masa itu) tanpa menghadap berhala atau tugu, tidak memakan khinzir dan tidak minum arak serta menyembelih haiwan sebelum dimasak dan dijamu selera. Golongan asing ini menetap di Canton dan mendirikan penempatan di sana. Ketahuilah, orang asing itu adalah orang Arab.


Selepas tamatnya pemberontakan An Shi, Islam berkembang dengan pantas di bawah pemerintahan Dinasti Tang melalui perkahwinan campur atau bahasa canggihnya amalgamasi. Hasil perkahwinan campur itu mewujudkan umat Islam China yang kita ketahui hari ini... dan akan datang.


Mungkin cukuplah input yang dikongsi bersama kali ini. Tidak perlu dilambakkan fakta dan butir sejarah, bimbang ada orang terkena nervous breakdown. Sedangkan gula pun kita tidak sukat berguni-guni, takut bila berlebihan kencing manislah pula jika tidak tekanan darah tinggi (hypertension). Insya-Allah, jika diizinkanNYA untuk terus hidup maka saya akan cuba menyambung lagi. Wassalam.


Rujukan

Ann Wan Seng. 2008. Rahsia Islam di China: Gemilang di Sebalik Tembok Besar.Batu Caves, Selangor. PTS Islamika.

No comments:

Post a Comment