Feb 17, 2010

Mazhab Si Tanggang


Lantaran perasaan remuk redam dan kecewa kerana dihalau oleh anaknya Si Tanggang, ibu tua itu pulang menangis. Tanggang anak aku, tergamak kau buat macam ini pada ibu, mungkin beginilah rintihan dalam hati seorang ibu tua itu. Kesudahannya, kebanyakan sudah tahu…
Tersumpahlah Si Tanggang menjadi batu bersama bahteranya.
Dalam kursus Sastera Rakyat yang saya ambil ketika tahun pertama di UMS, kisah Si Tanggang ni disifatkan sebagai prototaip. Selepas itu, muncul pula cerita serupa seperti Hikayat Malim Kundang dan tajuk yang lain yang naratifnya menyamai kisah Si Tanggang. Itu kita namakan “stereotaip”. Sama ada ini boleh diperdebatkan status kisah lagenda atau dongeng semata-mata, saya kira hal ini dalam lingkungan ahli sejarah dan para sasterawan.
JOHOR BHARU- Sekeras-keras batu, keras lagi hati seorang anak lelaki yang tergamak memecut kereta meninggalkan ibunya.
Lebih memilukan, dia tergamak membiarkan wanita tua itu berlari mengejarnya kira-kira 20 meter kerana mahu mengikut si anak pulang menyambut Aidilfitri di rumah.
Namun, apalah kudrat seorang wanita berusia 70-an, apatah lagi terpaksa menggendong bungkusan baju dalam kain batik, untuk mengejar kereta anaknya berusia 40-an yang semakin jauh meninggalkannya.
Ia bukan babak menyayat hati dalam drama televisyen, tetapi realiti hidup ditempuhi seorang penghuni rumah jagaan warga emas dan psikatri di Jalan Denai 1, Kempas di sini, yang begitu mengharapkan untuk pulang menyambut hari raya bersama anak dan cucunya di Masai, dekat sini.
(Harian Metro-16 September 2009)
Tatkala kesahihan kisah lipur lara ini belum dibuktikan, ternyata penangan Si Tanggang masih berterusan pada zaman sekarang yang serba-serbi canggih juga sofistikated. Canggihnya dunia kini sehingga tiada lagi kesempatan untuk menyediakan sendiri makanan sampai makanan yang disebut fast food lebih mudah didapati di mana-mana. Orang tua di kampung pun lebih-lebih lagi tiada dalam kepedulian kita lagi. Ya, orang sekarang cuba macam-macam cara untuk menghalalkan keuzuran mereka menjaga orang tua mereka. Jika boleh, biarkan ibu bapa yang sudah tua itu mati dan mereput tanpa mereka kisah pun.
Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya menulis dalam Berita Harian menyatakan tafsiran ulama tentang tanda-tanda penderhakaan terhadap ibu bapa seperti memutuskan hubungan dengan tidak menziarahi mereka, tidak memberi nafkah, tidak memenuhi hak-hak mereka, dan tidak mentaati ibu bapa dalam hal-hal yang bukan maksiat.
Dalam hadis riwayat Imam Bukhari, daripada Abdullah, katanya: Aku bertanya kepada Nabi SAW, amalan manakah yang paling disukai Allah Azzawajalla? Baginda menjawab, solat pada waktunya. Abdullah berkata, kemudian apa? Baginda menjawab, kemudian berbakti kepada kedua-dua ibu bapa. Dia bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab, jihad pada jalan Allah.
Sesungguhnya amanah untuk berbakti kepada orang tua bukanlah perkara main-main. Samalah erti dengan tidak memandang ringan perintah yang diturunkan Allah. Penulisan ini tidak boleh mengubah sesiapa untuk terus mentaati ibu bapa. Namun tatkala saya menulis sekarang, hati sayu mengenangkan ibu saya yang telah meninggal dunia. Yang pasti saya terasa sensitif apabila mendengar kisah manusia celaka yang menyebut begini,” Mak, apahal masukkan duit lambat sangat. Dah nak mati kering ni!”
Mungkin harta keluarganya melimpah ruah sampai nilai hormat hilang entah ke mana, hanya  Allah mengetahui.
Pergi kepada situasi yang lebih tidak manusiawi, statistik dari tahun 2005 hingga Sepetmeber 2009, tahun 2006 mencatatkan 235 kes jenayah yang dilakukan anak kepada ibu bapa. Dan tahun 2009 menyusul sebagai tahun kedua paling banyak jenayah yang seumpama ini. Tanpa perlu meneka lama-lama, majoriti kes membabitkan orang Melayu. Ya, Melayu, yang Islam yang namanya di”bin”kan dan “binti”.
Dan akhirnya tirai 2010 dibuka dengan jangkaan semakin ramai mengikuti perangai Si Tanggang. Saya sisipkan sedikit lirik lagu oleh Allahyarham Sudirman, Ayah dan Ibu…
Ayah dan ibu
Itulah permulaan kami
Dapat melihat bulan dan matahari
Yang dikurniakan dari Illahi
Ayah dan Ibulah
Mesti dihormati
Ayah dan ibu
Wali dan juga keramat
Pada mereka kita beri hormat
Bagilah tunjuk ajar dan nasihat
Supaya hidup kita akan selamat

Sumber: Milenia Muslim. Januari 2010.

No comments:

Post a Comment