Feb 19, 2010

GEMILANG DI SEBALIK TEMBOK BESAR_BAHAGIAN 2

Muslimin di China masih lagi mengekalkan ciri-ciri Islam pada diri mereka. Nama seperti Ma Ho dan Sulaiman Ding sebenarnya singkatan kepada nama Muhammad Ho dan Sallehuddin. Kopiah dan jubah juga menjadi identiti mereka.
 
                                                                    
Ni masjid mana pula ni?
 
Di sana (China) agama Islam lebih dikenali sebagai agama Hui, sedangkan Hui adalah satu daripada etnik yang beragama Islam di China. Sebetulnya, adalah amat meleset sekali jika memadankan agama Islam dengan sesebuah bangsa. Samalah macam mengaitkan Islam dengan Melayu.
Melayu majoritinya Islam, namun agama Islam sebenarnya bukan agama milik bangsa Melayu. Kerana Islam adalah agama yang bersifat sejagat dan sebagai panduan hidup semua umat manusia di segenap muka bumi.
Selepas Hui, Uyghur dan Kazak pula menjadi komuniti Islam yang terbesar. Mereka membentuk populasi masyarakat Islam yang terbesar, secara spesifiknya di barat laut Gergasi Asia itu.
Di samping Laluan Sutera sebagai jalan berkembangya syiar Islam, satu lagi tumpuan geografi yang juga penting ialah laluan lada. Para pedagang Arab menggunakan laluan lada bagi berdagang dan berniaga di laut. Bandar Canton adalah satu tempat berdagang. Dan seperti yang dikisahkan dahulu, terdapat catatan Dinasti Tang yang menyebut tentang orang asing yang menyembah langit, tidak menyembah patung hatta tugu sekali pun, dan hanya memakan haiwan yang telah disembelih. Dari Canton, penyebaran Islam menular ke Asia Tenggara, termasuk Melaka dan Terengganu.
Daerah Yunnan juga menjadi  tumpuan hingga menebalnya budaya Islam dan Arab di sana. Buat para pembaca bijak bistari, daerah Yunnan itulah yang menjadi tempat kelahiran Laksamana Cheng Ho, serta tokoh Islam China yang lain. Begitu pun, Laksamana Cheng Ho jelas amat tersohor namanya, tambah pula di dalam sejarah pelayaran.
Kedatangan orang Islam di China pada peringkat awal hanyalah sebagai menyahut seruan berdakwah, tanpa masuk campur perihal urusan pentadbiran dan politik di China. Tatkala umat Islam semakin kukuh dan kian berpengaruh di China setelah masa berlalu, pihak pemerintah mendapatkan pertolongan umat Islam bagi mengalahkan puak pemberontak.
Untuk memastikan ancaman pemberontak dilenyapkan, terlebih dahulu hubungan diplomatik secara rasmi terjalin antara empayar Islam dengan dinasti yang memerintah China. Sebagai contoh, Khalifah Hisyam bin Abdul Malik pada era pemerintahan Bani Umaiyah telah menghantar duta, yang bernama Sulaiman bagi menghadap Maharaja Tang Xuan Zong. Dengan hubungan politik sebegini, kedua-dua pihak saling memberi bantuan. Bagai aur dengan tebing lebih kurang begitu…
Dengan sokongan dan bantuan kerajaan Islam, Dinasti Tang dapat mematahkan beberapa siri pemberontakan yang dilancarkan musuhnya.
Selepas hubungan politik dimeterai, umat Islam diberi kedudukan istimewa. Dan umat Islam paling dapat mencapai zaman kegemilangan mereka pada waktu Dinasti Ming. Diakui, Dinasti Ming merupakan era feudal China yang paling makmur dan bertimbang rasa kepada rakyat mereka. Pada zaman Dinasti Ming itu juga, Melaka mula membangun dan mendapatkan naungan untuk mengelak ancaman Siam. Klimaks kepada hubungan diplomasi Melaka dan China, adalah perkahwinan Sultan Mansur Syah dan Puteri Hang Li Po. Cuba ingat semula isi buku teks sejarah tatkala kita masih bersekolah menengah dahulu. Entah ingat-ingat lupa…
Berbalik kepada umat Islam era Dinasti Tang, pengaruh dan kuasa Dinasti Tang telah merosot saat mereka melakukan penindasan terhadap komuniti Islam. Sekatan demi sekatan dikenakan untuk menghalang umat Islam di China beramal. Para pedagang Arab terpaksa membayar cukai yang tinggi dan tindakan ini seperti menghambat umat Islam daripada menguasai arena perniagaan di laut juga di  darat. Selepas beberapa siri tekanan dan sekatan dikenakan kepada mereka, umat Islam dan para pedagang Arab nekad memberontak , dari 877 Masihi hingga 879 Masihi. Puluhan ribu nyawa di pihak pemberontak terbunuh. Kerajaan Dinasti Tang berjaya mematahkan pemberontakan, namun kemenangan tersebut tidak membuktikan apa-apa.
 Pedagang Arab tidak mahu lagi berdagang di China, dan komuniti Islam di China dihalau keluar hingga ada yang melarikan diri ke Tanah Melayu. Lantaran tiada lagi pedagang Arab berniaga di China, taraf ekonomi China jatuh dan Dinasti Tang mula lemah, dan diambil alih oleh Dinasti Sung beberapa tahun selepas pemberontakan umat Islam dipatahkan.
Makluman kepada para pembaca, sudah dekat kita untuk menghabiskan ceritera tentang Islam dan hal umatnya di China, maka sabarlah dengan episod seterusnya. Jika sedang makan limau mandarin, apa kata renungkan umat Islam di China, menjadi lambang kasih dan sayang pada saudara seagama yang nun jauh di sana. Alang-alang sudah sama-sama orang Timur, doakan mereka sebelum tidur. Maka kita sudahi dengan surah Al-Asr. Sekali lagi, tiadalah patut para pembaca bertarannum di depan komputer…komputer…komputer…

No comments:

Post a Comment