Sep 24, 2011

Pahitnya Istiqamah Pada Sikap


Seberapa lama,sering terfikir setiap masa dalam mendalami istilah 'istiqamah'. Dahulu semasa berada di dunia kampus, perkataan itu yang sering di ungkapkan oleh sahabat-sahabat dan para ilmuwan yang menyampaikan amanahnya. Ya, saya mengatakan ia amanah kerana itulah kewajipan orang berlimu. Menyampaikan kepada mereka yang tidak mengetahui dan dalam masa yang sama memperingatkan semula bagi yang mengetahui.

Malahan,istilah ini sering berada dalam pemikiran saya setiap masa. Terutamanya apabila mula melalui fasa perubahan dalam hidup. Semakin hari semakin mencabar.Meningkatnya kedewasaan ini memberi satu persoalan, kian bertambahkah amalan?Hal ini kerana, konsistennya amalan hanya dari hasilnya istiqamah. Bagi yang menempuhi makna dalam mempertingkatkan amalan, istiqamah inilah akan teruji.

Imam al-Ghazali menyatakan kerana sukarnya istiqamah ini maka sebabitulah di wajibkan ke atas manusia mengulangi doa kepada Allah setiap hari iaitu " Tunjukkanlah kami jalan yang lurus" yang terdapat di dalam surah al-Fatihah. Bahkan ia di baca setiap hari sebanyak 17 kali dalam bacaan solat kita.

Makanya, istiqamah di atas jalan yang lurus sedikit sukar, tetapi kita harus bersungguh-sungguh untuk mendekati istiqamah sekalipun tidak mampu mencapai hakikatnya. Bagi setiap yang menginginkan keselamatan maka tidak akan ada keselamatan baginya kecuali dengan amal sholih. Bahkan amal sholih pula tidak akan lahir kecuali dari akhlaq yang baik. Betapa ia berkesinambungan antara istiqamah, amal sholih dan juga akhlak yang baik.

Namun, malangnya tidak semua yang mempunyai kesedaran tentang ini. Waima ia seorang yang bergerak di jalan dakwah. Ada yang amalannya di perhebatkan tetapi akhlaknya tidak setanding dengan amalan. Mari kita koreksi semula amalan yang sering kital aksanakan. Adakah ia meningkatkan akhlak kita? Cara mudah menilainya, adalah melihat bagaimana sikap kita ketika bersama-sama sahabat dan keluarga.Terutamanya pada waktu datangnya rasa marah dan juga di saat mood kita kurang baik. Adakah kita berakhlak sebenar seorang muslim dalam menghadapi keranah sahabat-sahabat dan ahli keluarga. Bahkan sejauh manakah akhlak kesabaran itu betul-betul kita cuba tanamkan dalam diri semasa berada dalam tekanan kehidupan.Sabar menahan marah. Sabar menahan diri bermasam muka dengan orang sekeliling.Serta sabar dengan tugasan yang kian memberati pundak bahu kita. Kenapa sabar? Hal ini kerana dari istiqamah ia akan membentuk akhlak kesabaran kita dalam menghadapi cabaran dan ujian yang menuntut kewarasan minda sepanjang masa.

Bagaimana pula jika akhlak masih tiada peningkatan walhal amalan sering bertambah.? Maka renung dan cek semula pelaksanaan amalan kita. Adakah ia di laksanakan dengan disiplin ilmu yang betul? Jika tidak kita hanya meneruskan amalan yang jahil dan sia-sia. Tidak membuahkan hasil yang baik sebaliknya sikap yang tidak baik seperti riya’, ujub dan penyakit hati yang lain. Seterusnya jadilah kita seperti daie yang dikatakan pepatah alim-alim kucing.

Pernah baru-baru ini seusai mengikuti sebuah program. Datang seorang adik yang baru di kenali menanyakan saya satu soalan, iaitu bagaimana untuk istiqamah. Jawapan spontan saya pada ketika itu ialah, mulakan ia dengan sedikit. Bukan semata-mata kerana ia daripada sepotong hadith. Hakikatnya ia lebih dari itu. Kerana saya pernah mencubanya. Memulakan dengan amalan yang mudah. Insya’Allah lama-kelamaan ia akan mendidik jiwa untuk terus konsisten.

Seperti hadith “Sebaik-baik amalan adalah yang berterusan meskipun sedikit.” (hadis direkodkan oleh Al-Bukharidan Muslim).

Apabila berusaha untuk istiqamah,tindakan yang akan di ambil ialah untuk membuat satu perubahan. Iaitu perubahan sikap.Maka pada ketika ini bagi para mujahid dan mujahidah halangan utama adalah alasan. Alasan untuk berubah. Misalnya seperti dialog ini. “Maaf, dah memang perangai saya macam tu sejak kecil.”, ataupun begini “ Saya dah macam ni dari azali lagi, jadi terpulanglah orang lain nak terima atau tidak diri saya.”Paling tidak seperti ini, “Kenapa perlu jadi seperti orang lain? Saya adalah saya.” Inilah antara penyakit alasan yang sering di salah guna oleh kita dalam membuat suatu anjakan kepada diri sendiri.Terutamanya dalam menjadi ummah yang terbaik.

Teringat kepada saat wahyu sampai kepada Rasulullah SAW di waktu baginda bersama Khadijah. Tatkala Jibrail membacakan wahyu daripada surah al-Muzammil ayat satu hingga tujuh dan telah ditafsirkan oleh Dr Muhammad Husein Haykal di dalam karyanya “Hayat Muhammad”.Seruan itu bererti “ Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia), dan kepada Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaran-Nya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan! Dansegala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi! Janganlah engkau memberi(sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya! Manakala bagi (menjalankan perintah ) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentengan musuh)!

Bahkan pabila Khadijah melihatkeadaan Nabi SAW ketika itu, beliau merasa semakin kasihan dan meminta Nabi SAW untuk berbaring semula dan berehat. Namun, Rasulullah lantas bangun dan terus berdiri seraya berkata “Masa untuk tidur dan berehat telah berlalu wahai Khadijah.Aku disuruh Jibrail untuk memberi peringatan dan amaran kepada manusia serta menyeru mereka supaya beribadat kepada Allah.” Malahan setelah Rasulullah mendengar penjelasan Khadijah mengenai perbualannya dengan Waraqah bin Nawfal,tanpa melengahkan masa Khadijah mengumumkan keislamannya dengan penuh perasaan iman terhadap kenabiannya.

Betapa hebatnya iman Khadijah kepada Allah danRasulNya. Khadijah tidak memerlukan bukti yang nyata tentang kebenaran Islam.Hal ini kerana ia telah terzahir melalui akhlak Nabi SAW yang telah Khadijah lihat bertahun-tahun selama ini. Contoh manusia yang luar biasa dengan kebenaran perkataannya, pemurah dan pengasih. Serta kesungguhan Rasulullah beribadat di gua Hira’ sepenuh tumpuan hatinya mencari kebenaran dengan hati, jiwa dan akalnya terhadap kekuasaan Allah SWT juga memberikan penyaksian Khadijah terhadap wahyu yang disampaikan.

Ternyata istiqamah Rasulullah dengan akhlaknya memberi impak yang besar terhadap penyebaran Islam kepada umat manusia. Oleh itu jangan biarkan penyakit alasan menjadi jurang kepada kita memperbaiki sikap dan amalan dalam memperolehi ilmu-Nya.
Marilah sama-sama kita turuti akhlak Nabi SAW satu persatu. Terus berusaha dan berusaha, bukan kerana janji syurga semata. Tetapi kerana nikmat sebagai pilihan Allah dalam menyampaikan kalimah-Nya dan juga nikmat di bukakan hati untuk kembali semula kepada-Nya.

FirmanNya : “Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan” (Ayat 16 : Surah ar-Rahman )

Seperti mana yang di rasai Nabi SAW.Cukuplah baginya bersyukur dengan hakikat bahawa baginda pada mulanya merupakan anak yatim, lalu di jaga oleh datuk baginda, Abd Muttalib dan bapa saudaranyaAbu Talib. Serta dahulunya miskin, lalu Allah memberinya kekayaan dengan sebab sifat amanahnya dan seterusnya mendapat kesenangan kerana Khadijah yang menjadi teman hidup semasa muda baginda. Malahan teman ketika baginda beribadat di gua Hira’ dan akhirnya menjadi Nabi SAW yang di kasihi oleh Allah SWT dan para sahabat.Bagi Rasulullah, cukuplah ini semuanya, biarlah baginda menyeru kepada kebenaran sedaya upayanya. Itulah suruhan Allah kepada NabiNya, yang dipilihNya dan tidak meninggalkannya serta tidak pula benci kepadanya. Betapa tingginya cinta Allah SWT di sisi Rasulullah SAW.

Moga hidayah yang hadir di hati kita saat ini di genggam erat dengan istiqamah terhadap urusan agama. Insya’Allah ia akan berkekalan dengan ilmu dan amalan yang sering bertambah.

Penulis:penac0mel@episodperjuangan.blogspot.com

1 comment:

  1. :) Betul kata Kak Izza.Muhasabah untuk semua.emm, Teringat kata2x Ustaz Nik Abduh tentang bagaimana nak kekalkan istiqomah. "Agama amalkan dalam bentuk sederhana.Jangan Melampau (sehingga menyusahkan) dan jangan kurang (sehingga melalaikan).Semua tindakan yang melemahkan tubuh badan (melampau:contohnya tidak tidur langsung kerana beribadat,sampaikan tiada masa untuk badan berehat...etc) boleh melunturkan istiqomah.Wallahua'lam.

    ReplyDelete