Aug 26, 2010

Ramadhan Ini...

Ramadhan kali ini, aku nak khatam al-Quran. Ya yakin boleh!

Dah start puasa. Hmm, kali ini aku akan bersungguh tinggalkan perkara-perkara lagho, contoh perbualan tidak berfaedah di facebook, dan menonton televisyen.

Pasti boleh!



Mungkin anda pernah dengar ayat seperti diatas bukan? Tidak kiralah samada daripada mulut orang lain mahupun kata hati anda sendiri. Berazam sempena kedatangan bulan penuh barokah.

Namun sayangnya, azam ini hanyalah manifestasi kata-kata tetapi bukannya tindakan.
Pernah anda berkata aku nak buat itu, nak buat ini, dan akhirnya lain yang anda lakukan. Apa yang diperkatakan tidak sama dengan apa yang dilakukan.Sedangkan Allah sangat membenci sesiapa yang mengatakan sesuatu yang tidak dikerjakan.

Kenapa? Masih jadi begini?

Pertama sebab NAFSU yang masih menapak didalam diri.
Kedua ketulusan NIAT dan kesungguhan yang dicemari dengan maksiat.
Ketiga kekurangan kekuatan ISTIQAMAH terhadap apa yang diazamkan.

Nafsu dalam diri.Ya, musuh kita selepas syaitan. Masih bersama walaupun sahabatnya dirantai sempena ramadhan. Nafsu yang telah 'dilatih' oleh jurulatih-jurulatih neraka sebelum ini. Tidak perlu kepada bantuan mereka, NAFSU sudah berdikari sendiri walaupun rahmat Allah tidak terhijab di bulan mulia ini. Itu sebabnya kenapa kemungkaran masih berleluasa walaupun melangkah kedalam bulan pesta ibadah.

Kerana latihan sebelum ini membiasakan kita. Ghibah dan perbincangan perkara-perkara melalaikan telah menjadi rutin sebelum ini akibat godaan syaitan jurulatih terlatih yang tidak jemu mendekati dan menyesatkan manusia.Sesat dalam nafsu sendiri dan akhirnya keliru dalam melawan diri untuk memaksa hati beribadah kepadaNya...Kemudian timbul pula perasaan hairan semakin susah pula menguatkan mujahadah di waktu free dari godaan macam ini. Pelik bukan?
Sepatutnya, ramadhan adalah bulan recharge tenaga untuk sistem imuniti bagi 11 bulan yang seterusnya.

Namun, berapa ramai kah di kalangan kita menghayati pengertian puasa? Dan adakah kita
benar-benar beradab melaluinya? Sabar mendepani tugasan kuliah dan kepenatan berjalan kaki menuntut ilmu? Sedangkan Rasulullah SAW menyifatkan puasa itu adalah separuh daripada kesabaran.

Jauhkah kita daripada perkara-perkara maksiat seperti mengumpat dan mengeji yang bisa menarik sakinah dihati...

Sudahkah kita membaca dan mentadabbur al-Quran dan mengalunkan zikir-zikir penguat hati menghadapi pancaroba puasa.

dan pernahkah terdetik dan terfikir hikmah dan ibrah ibadat puasa yang totalitasnya boleh diambil dari sirah nabi.. Sirah perjuangan sahabat Nabi yang tetap mampu mengangkat pedang di tanah Badar? Sedangkan kita hanya berjihad dengan pena dan minda, yang cuma membutuhkan sedikit tenaga.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang mu'min, dari diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah lalu membunuh atau terbunuh , (sebagai) janji yang benar dari Allah d didalam Taurat, Injiln dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, demikian itulah kemenangan yang agung." (Surah al-Taubah :111)

Maka tepuklah dada tanya minda...Apakah NIAT mu pada awalnya...

Dan niat ..sejauh mana ketulusan NIAT dan kesungguhan kita melindunginya daripada dicemari dengan maksiat. Maksiat hati yang bersumberkan daripada Facebook, mesej telefon bimbit dan juga sumber teknologi yang lain.

Betapa mudahnya hati dimasuki jangkitan maksiat yang sukar dikesan dengan keimanan yang sering turun naik.Hal ini disebabkan pertolongan Nafsu yang membenarkan setiap tindakan yang lalai dan bertentangan syariat. Maka wujudlah self defend mechanism sebagai gunung alasan. Alasan yang menghalalkan tindak tanduk Facebook seperti berchatting,berkongsi pendapat yang mengundang persengketaan dan melihat gambar-gambar yang bukan mahram dengan niat berseronok-seronok.

Akhirnya tercemar lah Niat Ramadhan yang pada awalnya berniat untuk membersihkan diri daripada dosa-dosa. Bahkan sebaliknya tamat dengan niat yang dikotori dengan mazmummah yang melekat. Yang pastinya akan mencacatkan perjalanan mujahadah yang seterusnya.

Realiti umat yang yang penuh sifat pentingkan diri hasad dengki dan riya'..
Kesudahannya kita masuk dengan baki dosa sebanyak 56 % dan keluar dari bulan ramadhan dengan penambahan kepada 78% .. Kesan daripada 'kalah' dengan nafsu yang bertopengkan sifat diri yang rasa sukar di ubah. Sedangkan hendak menjadi umat cemerlang , perlu lah ada sikap mencabar diri sendiri dalam mengejar cinta Tuhan.

Itulah peranan ISTIQAMAH dan kekuatan Hati dalam mengkonsistenkan niat dan amal.
Perlu ada kesungguhan dalam setiap perkara. Dan bukannya melayan kelemahan diri. Misalnya untuk istiqamah iftar secara jamie dan solat tarawih di surau mahupun masjid.

Berusaha untuk melakukannya walaupun rasa letih memuncak dalam diri. Melainkan betul-betul ada kekangan yang tidak mampu dielakkan.
Begitu juga memaksimumkan gurauan dalam percakapan biarpun mulut seperti rasa tidak mampu menahan daripada pertuturan yang melucukan.

Begitu juga dengan belajar. Sukar untuk mengembalikan momentum semangat untuk mendasyatkan usaha dalam merealisasikan cita-cita mahupun harapan keluarga. Ya, kadang-kadang kita terlupa cita-cita keluarga kita terhadap kita. Cita dan angan mereka yang telah dipasang sejak kita masih kecil kaki sebesar dua telapak jari hinggalah menginjakkan kaki ke universiti. Istiqamah dalam perjuangan akademik.

Kadang-kadang kita kabur dengan kesukaran dan kesedihan yang berlaku disekeliling, dan akibatnya kita hilang arah tuju. Hakikatnya, di usia sebegini kita sudah bisa menetapkan matlamat untuk diri sendiri dan keluarga kita. Kerana hendak menjadi muslim hebat memerlukan usaha kuat pada awalnya. Bukannya berusaha kelak ataupun sampai masanya. Kerana usaha dan istiqamah inilah yang akan membuahkan kemanisan pada akhirnya. Lebih-lebih jika ia berlandaskan keimanan kepada Allah SWT. Pasti nikmat itu akan berlanjutan hinggalah ke hari pertemuan denganNya.

Nah! Ramadhan ini lah masa muhasabah kembali. Bukan sahaja meneliti jadual ibadah kita. Tapi juga seluruh kehidupan kita, kerana islam itu syumul. Tempoh mengoreksi diri sendiri yang telah Allah sediakan secara khusus kepada kita. Bulan melihat apakah khabar hubungan kita dengan Allah? Dengan keluarga? Akademik? Sahabat? dan akhlak kita.

Maka bersegeralah pupuk semula kesungguhan, untuk mengoptimunkan usaha dan langsung ISTIQAMAH. Kekuatan umat islam itu bukan pada kebijaksanan sahaja tetapi kolobarasi inside strength to outside action.

Akhirnya kawal lah nafsu dan bersihkan niat untuk mengekalkan istiqamah..

ImageHost.org


Nurul Izzah Nadia

No comments:

Post a Comment