Aug 15, 2010

Hukum melakukan rebonding

Assalamualaikum ustaz,

Apa hukum melakukan 'rebonding' bagi wanita bertudung (untuk kekemasan diri) yang sememangnya tidak bertujuan untuk menarik perhatian bukan muhrim?

wallahua'lam

JAWAPAN....


الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه أجمعين، وبعد

Merujuk kepada makna asal perkataan rebonding adalah meluruskan semula rambut. Namun perkataan tersebut digunakan juga dengan makna “kerinting” rambut. Secara umumnya, tiada nas yang spesifik menyentuh mengenai larangan atau keharusan meluruskan atau mengkerintingkan rambut. Bagi mereka yang berpendapat hukum rebonding haram berhujah bahawa amalan tersebut termasuk dalam erti kata mengubah kejadian asal yang diciptakan Allah. Hal ini bersandarkan hadis yang diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud, ia berkata:

Allah ‘Azza Wa Jalla melaknat orang yang mentatu dan yang meminta ditatukan, yang mencukur alisnya (bulu kening) dan menjarangkan giginya untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.
(HR. Bukhari dan Muslim)

Bagi mereka yang mengharuskan rebonding berhujah bahawa larangan dalam hadis tersebut bermaksud mengubah struktur dan fungsi ciptaan Allah secara kekal. Manakala rebonding bukan mengubah struktur dan fungsinya yang asal malah masih dalam konteks tidak kekal dan sangat berkait dengan kaedah dan tata cara menguruskan rambut. Lebih-lebih lagi dalam konteks berhias kepada suaminya. Sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas pernah berkata:

Sesungguhnya aku berhias untuk isteriku sebagaimana aku suka dia berhias untukku. Sebagaimana aku suka menuntut semua hakku daripadanya, aku juga menyempurnakan semua haknya daripadaku“.

Pada hemat saya, untuk menentukan sama ada amalan tersebut termasuk diharuskan atau sebaliknya beberapa aspek perlu diteliti;

1. Niat dan tujuan
Sekiranya bertujuan untuk kecantikan diri, ianya masih dalam ruang lingkup perkara yang diharuskan lebih-lebih lagi berhias untuk suami. Sabda nabi saw yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kecantikan“. Namun dalam waktu yang sama kita perlu mengakui hakikat di sebalik hikmat Allah menciptakan manusia dalam pelbagai bentuk dan rupa wajah dan kita diciptakan dengan secantik kejadian. Maka jika tujuannya untuk berhias di luar rumah maka sudah pasti hukumnya adalah haram.


2. Bahan yang digunakan
Bahan yang digunakan mestilah suci dan bersih dari sudut syara`. Ini bermaksud jika bahan yang digunakan terdiri daripada bahan kimia, maka pengesahan status halalnya perlu dirujuk kepada pihak berwajib. Begitu juga dari sudut kalis air atau sebaliknya. Hal ini perlu dipertimbangkan kerana ia melibatkan hukum mandi wajib dan berwudhuk iaitu memerlukan rambut tersebut dibasahkan. Ini beerti jika bahan kimia tersebut kalis air maka hukumnya haram sekalipun suci dan bersih.

3. Siapa yang melakukan proses rebonding?
Proses rebonding tersebut hendaklah dilakukan oleh rakan sejantina. Dengan itu tidak harus jika yang melakukan rebonding tersebut seorang lelaki sekalipun ditemani oleh suaminya kerana perbuatan tersebut telah mendedahkan aurat kepada orang yang diharamkan melihat auratnya. Persoalan lain juga yang harus difikirkan mengenai hukum mendedahkan aurat kepada wanita bukan Islam dalam keadaan yang bukan diperlukan atau “ dharuri”.

4. Kesan
Antara perkara yang perlu dipertimbangkan, adalah kesan langsung atau sampingan akibat melakukan rebonding. Secara ikhlas, saya tiada mempunyai maklumat mendalam mengenai kesan sampingan penggunaan bahan kimia berkenaan. Tetapi secara prinsipnya, jika penggunaan tersebut memberi kesan negatif sama ada secara langsung atau jangka panjang maka hukumnya adalah haram berasaskan hadis nabi saw: لا ضرر ولا ضرار yang bermaksud “jangan kamu melakukan kemudharatan dan mendatangkan kemudharatan” .

Semoga garis panduan yang diberikan dapat membantu saudari membuat keputusannya.

والله أعلم بالصواب

Disediakan oleh:
Ustaz Dr Ridzuan Ahmad
Ahli Panel MUIS

Dipetik dari:
Majlis Ulama ISMA

No comments:

Post a Comment