Jan 24, 2010

kepimpinan yang terpuji

Oleh: Azizul Shaharudin

Saya teringat pula lagu nyanyian Jalil Hamid, diceritakan habis tentang segala bentuk “raya”. Jalan raya, Jabatan Kerja Raya, hantu raya, Hari Raya (semestinya), dan mungkin pilihan raya. Dan saya hanya bercerita tentang “pilihan raya”, memandangkan pilihan raya sudah menjengah semasa menulis coretan ini. Dan pastinya calon sedang berkempen sehingga tarikh membuang undi pada minggu ini juga.

Saya berada di kalangan pengundi, tentulah berbeza pandangan dengan penyokong kuat mahu pun calon yang bertanding. Bagi calon yang menang tanpa bertanding, tiada terkecuali mereka dalam isu ini. Walaupun tampak seperti tiada apa yang boleh diulas tentang kemenangan segera semacam itu.

Bagi pemimpin dan bakal pemimpin, mungkin patut kita teliti surat dan pidato salah seorang ketua yang benar-benar terkesan kepimpinannya; SAIDINA UMAR AL-KHATAB:
1)      Pidato beliau tatkala menjadi khalifah-Sesungguhnya Allah menguji kamu semua dengan perlantikan saya sebagai khalifah. Dia menguji saya dengan melantik saya memimpin kamu semua. Dia mengekalkan saya terus hidup bersama kamu semua selepas kematian dua sahabat saya (Rasulullah dan Abu Bakar). Oleh itu, demi Allah, sesuatu urusan kamu yang sampai kepadaku, ia tidak akan diuruskan oleh orang lain selainku (maknanya aku akan uruskan sendiri). Sementara urusan kamu yang tiada di hadapanku (jauh daripadaku), saya tidak akan serahkannya kecuali kepada golongan jujur dan amanah untuk menguruskannya. Jika mereka bersikap baik, saya akan bersikap baik kepada mereka. Namun jika mereka bertindak jahat, saya pasti akan menghukum mereka. Kamu berada dalam dalam tanggungjawab saya supaya saya tidak menghumban kamu ke jurang kebinasaan…
2)     
         Pidato pertama- Bacalah Al-Quran, kamu akan berpengetahuan kerananya. Beramallah dengan isi kandungannya, kamu akan menjadi pendokong Al-Quran. Timbangkanlah diri (amalan) kamu sebelum kamu dititmbang. Berhiaslah (dengan amalan soleh) untuk hari pembentangan agung; hari segala amalan kamu dibentangkan di hadapan Allah. Tiada satu pun daripada kamu yang tersembunyi. Sesungguhnya seseorang tidak meletakkan hak kepada pihak yang berhak melalui ketaatan dalam perkara maksiat. Ketahuilah, sesungguhnya saya meletakkan diri saya dalam harta milik Allah sama seperti wali anak yatim (penjaga anak yatim). Jika saya tidak memerlukannya, saya akan menjaga kesucian diri saya daripada menggunakannya. Dan jika saya memerlukannya, saya akan menggunakannya dengan baik.



Ucapan Amirul-Mukminin ini saya petik daripada buku halaqah saya; Asas-Asas Islam jilid 2. Supaya ada panduan untuk JAKMAS atau MPP yang akan dilantik untuk menjalankan tugas mereka nanti. Malah memberikan gambaran bagaimana untuk melaksanakan manifesto bukan material yang dipegang mereka, seperti memantapkan akhlak mahsiswa contohnya. Ayat-ayat manifesto bukannya serupa ayat-ayat jampi “Zam-zam alakazam” atau “Nyiansong matakaji semarai Seng” (mantera dari filem Ali Baba Bujang Lapok). Puh, terus jadi mahasiswa berakhlak mantap.

Sama sekali tidak realistik untuk mencapai tahap kepimpinan Saidina Umar lagi Umar Abdul Aziz, kerana tahap iman kita dengan mereka jauh panggang dari api. Lebih jauh lagi sebenarnya, bagai langit dengan bumi, dalam Bahasa Inggerisnya, heaven and earth. Yang kita boleh ambil ibrah adalah konsep ketegasan, kejujuran dan ketelitian dalam mentadbir.

Oh ya, saya terlupa pula bahawa yang menzahirkan sebahagian manifesto itu nanti adalah HEP jua akhirnya. Bukan JAKMAS dan MPP. Jika berangankan water cooler di Kolej Kediaman, silakan…tetapi bukannya pemimpin pelajar yang membuat kerja serupa JKR. Sudah menang pilihan raya, mahu buat tugas Jabatan Kerja Raya pula.

Semasa rapat umum nanti, sedikit sahaja saya memandang berat pada manifesto calon, sebaliknya keterampilan dan gaya calon-calon yang boleh menambat hati para pengundi. Para pengundi; mereka adalah modal untuk kemenangan anda calon-calon PRK. Jangan lupa kepada kami yang menyokong anda di belakang, bawalah kami ke arah yang lebih baik. Jangan merosakkan budaya akademik dalam kampus, seperti yang saya pernah dengar berlaku dalam kepimpinan yang sebelum-sebelum itu. Awek keliling pinggang, bermewah-mewah, kerja lembab seperti siput bagainya, atau buat-buat muka sombong depan orang lain. Serta hiburan yang tiada hujung pangkal atas slogan 1UMS mahu pun keharmonian antara kaum.

Pemimpin yang terbaik di kala ini, adalah pemimpin yang disebutkan berdasarkan ucapan Saidina Umar sebelum ini, yang mana Insya-Allah dapat meningkatkan prestasi anak buahnya. Tiada kepura-puraan lagi lidah bercabang. Di depan kita dikata mahu mencari damai abadi, belakang kita dibuat perangai munafik sejati. Sekali lagi, saya ulang saya berdiri di atas kredit sebagai pengundi, jika posisi ini lebih neutral dan tidak cenderung kepada mana-mana calon mee Maggi.      

No comments:

Post a Comment