Jan 18, 2010

perihal tudung dan pemakaiannya

(click on the comic picX to read)



Komik saya ini pernah tersiar di blog putra-alkahfi. Namun disiarkan kembali dalam laman sesawang surau ini, dengan tambahan grafik yang sedikit lebih elok daripada dahulu, kini telah saya toningkan. Katakan apa sahaja, rebranding, repackaging atau kemas kini, semuanya merujuk pada karya yang sama. Maka, mari kita lihat perbualan Eri dengan Rachel (belek komik dulu). Kemudian jika rasa senang, baca pula sedikit pengisian tambahan.


Mula-mula sekali, mereka yang free-hair tidak sewenang-wenangnya dituduh kafir mahu pun diancam akan masuk neraka. Siapalah kita untuk berlagak hebat mengatakan orang itu orang ini masuk neraka. Okey, saya pergi ke skop lain perihal tudung ni: sejarah ringkas pasal tudung di negara kita.

Berbanding zaman 50-an hingga 70-an dulu, imej tudung di Malaysia (negara lain saya tidak ketahui) dengan spontan, without a blink of eye akan dikaitkan dengan wanita baik, terlibat dalam gerakan dakwah dan sopan santun kerana tudung mereka dipakejkan dengan jilbab dan niqab lagi burqa yang jelas menutup aurat. Majoriti perempuan Melayu hatta Islam ketika itu masih lepas bebas membiarkan rambut mereka berada di luar, sedang pada masa yang sama mengekalkan kesantunan warisan adat resam Melayu.

Menjelang milenium yakni abad 21, struktur tudung telah berevolusi untuk disesuaikan dengan pelbagai rekaan baju sekarang ini. Maka seperti yang anda lihat dewasa ini, tudung sudah tidak lagi lekat dengan jubah dan baju kurung atau kedua-duanya sekali. Tudung siput, tudung tiga segi, tudung rambu-ramba ditambah lip-lap Labucci sudah kedapatan di pasaran. Sekadar menyebut contoh, tudung-tudung tadi telah dipasangkan dengan baby-t, baju kemeja sendat, bak kata orang Pantai Timur Semenanjung “ketat gelemak” bersama blaus pendek, dengan seluar yang mengikut bentuk bahagian bawah abdomen.

Maka jadilah ia istilah yang digunakan para penceramah; bertudung tapi bertelanjang. Dek evolusi tudung tanpa mengikut syariat itulah imej orang bertudung (ada yang ikhlas) tercemar. Dari satu segi, pemakaian tudung sudah berleluasa namun tudung sudah tidak suci lagi. Aduhai, sampai begini jadinya ia.

Lama dahulu, saya pernah menonton rancangan gosip Melodi. Dalam satu segmen, seorang penyanyi wanita yang suka berkaki ayam semasa menyanyi di atas pentas, apabila diwawancara tentang sikapnya yang suka menayang tapak kaki dia melontarkan kata-kata yang macam kurang ajar, seperti ini:
“ Tak semestinya yang tutup (aurat) semua tu baik-baik perangai.”

Apa rasional penyanyi ini bercakap begitu, mungkin tidak tercapai dek akal saya. Namun artis ini patut boleh sahaja menjawab “Bukan semua orang macam kami ni buruk perangai.” Saya kira jawapan kedua ini tidak mengundang kontroversi yang boleh menyusahkan dirinya. Namun perkara ini sudah terjadi. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata karier yang binasa. Sama-samalah kita doakan dia bertaubat dan membuang prasangka buruknya. Semoga selepas ini tiadalah lagi kes main tarik tali, pihak mana mahu memulakan.

Sambil itu isi yang bersifat ilmiah turut dimuatkan. Di sini saya mengemukakan bukti akademik dengan memetik tulisan Dr. Danial Zainal Abidin dalam bukunya, Minda Muslim Super muksurat 57 hingga mukasurat 58:
Beberapa golongan di Barat mula mengagumi ajaran Islam berhubung dengan wanitanya. Sebagai contoh, R. Stevenson menulis di dalam Toronto Star bertarikh 23 Januari, 2002 berhubung dengan etika pemakaian wanita Islam. Beliau berkata,” Semasa saya dan rakan-rakan sedang makan malam di sebuah restoran, kami duduk bersebelahan dengan tiga orang wanita muda. Tiba-tiba masuklah dua orang wanita Islam dengan pakaian yang konservatif dan duduk bersebelahan dengan mereka. Kami dapat mendengar ketiga-tiga wanita tadi berbisik-bisik sesama sendiri berhubung kedua-dua wanita Islam itu, “ Mengapa mereka berpakaian seperti itu? Saya bersimpati dengan mereka!” Ketiga-tiga wanita (Barat) itu akhirnya membayar bil dan terus beredar. Mereka memakai seluar yang ketat, skirt yang singkat, kasut bertumit tinggi, gincu yang tebal dan bahagian dada mereka didedahkan secara menghairahkan. Kami alihkan pandangan kami kepada kedua-dua wanita Islam tadi. Tudung mereka yang hitam menzahirkan peribadi mereka yang bersopan santun. Gaya mereka nampak asli. Pakaian mereka walaupun koservatif, menampakkan sifat kewanitaan yang indah. Berpakaian secara sopan menakutkan wanita Barat. Kenapa? Adakah kerana mereka tidak mahu kehilangan hak menunjuk-nunjuk? Selepas kami berbincang berkenaan isu ini, kami dapati wanita-wanita Islam berjaya membebaskan diri mereka daripada perangkap fesyen tanpa perlu menunjuk-nunjuk, bersaing, berbelanja lebih dan berdiet bagi menarik perhatian kaum lelaki ataupun wanita. Kami dapati kedua-dua wanita Islam itu tadi lebih menarik dibandingkan dengan ketiga-tiga wanita Barat tadi. Penonjolan seks dalam masyarakat kita menjadi suatu budaya arus perdana sehingga kita menganggap adab dan sopan santun suatu kemunduran. Dalam konteks jangka panjang, apabila kaum lelaki melihat secara lebih jauh, mengelak daripada memakai seluar ketat dan tumit tinggi, mereka mendapati bukan keyakinan diri sebaliknya perasaan terdesak mendapat perhatian (yang menyebabkan wanita-wanita Barat begitu ghairah dengan fesyen). Wanita yang mementingkan adab dan kesopanan tidak terperangkap dalam suasana yang memperdayakan ini. Mereka berbangga dengan apa yang mereka miliki. Ingatlah ini apabila anda bersimpati dengan wanita-wanita Islam.”

Janganlah kita lupa, bahawa wanita itu suka berkemas-kemas, berhias-hias. Maka tiada kesalahan apabila berpakaian mengikut fesyen, dengan syarat menutup aurat sebagai mana dituntut dalam syariat. Saya sekali lagi memetik daripada buku yang sama, bahawa Hamka pernah berkata: Tidaklah semua pakaian Barat itu ditolak oleh Islam dan tidak pula seluruh pakaian tempatan dapat diterima. Kebaya Jawa yang menampakkan sebahagian dada tanpa sebarang selendang adalah termasuk pakaian yang dilarang mengikut pandangan Islam.

Setakat yang saya telah baca setakat ini, ada beberapa sebab wanita Islam kini tidak reti menutup aurat:
• Tidak mahu menjadi hipokrit, lantaran ramai yang bertudung tetapi berperangai macam perempuan murahan.
• Atas desakan profesion dan tugasan, seperti field work di mana pelajar Geologi yang bimbangkan kotoran melekat pada tudung dan para doktor yang melakukan pembedahan terpaksa menanggalkan tudung kerana prosedur hospital yang mengatakan jangkitan kuman merebak melalui tudung.
• Atas sebab populariti dan permintaan peminat (bagi artis). Dalam kes ini sebagai contoh, seorang artis yang bergelar hajah terpaksa berseksi-seksian kerana peminat tidak suka imej barunya yang menutup aurat, kononnya peminatlah yang memberinya peluang untuk mencari makan.
• Mahu mengikut trend sama ada funky, kinky, sexy, atau kerana tuntutan hak feminisma seperti Kakak-kakak Dalam Islam.Pula….

Zaman imej tudung yang suci lagi agung ketika era 70-an dahulu sudah berlalu, tetapi bukankah sejarah mungkin berulang? Insya-Allah, etika menutup aurat akan dipakejkan dengan pemakaian tudung secara sempurna. Manalah tahu, wanita Islam yang free-hair ini kelak akan dinasihati oleh kawan non-muslim seperti Rachel yang mulanya skeptikal dalam komik tadi.

Saya bukanlah agamawan dan cendekiawan yang sudah menghabiskan berpuluh-puluh kitab lama dan baru. Seperti anda, saya juga pembaca blog, buku-buku kontemporari dan penghadir kuliah-kuliah maghrib di surau. Bezanya ialah saya berani menyebarkan maklumat dengan cara saya sendiri agar ramai yang dapat manfaat bersama. Usaha saya masih panjang, namun jika sudah gemuruh jiwa semangat membara, maka dari puncak ingin ke angkasa. Supaya kita semua menyerlah jauh dari yang biasa. Moga ketemu lagi.

Kemaafan dipohon, keihklasan didamba.
Teguran dialukan, komen diterima.

3 comments:

  1. salam..artikel yg bermanfaat . diolah dgn cukup kemas..moga dapat memberi iktibar dan pengajaran bt semua muslimat2 diluar sna

    ReplyDelete
  2. salam alaik. kartun yang menarik. ringkas tapi padat dengan info. cuma diharap dapat ditukar warna tulisan ke lebih gelap. ada masalah untuk membacanya.
    salam~

    ReplyDelete
  3. dah tukar warna font. untuk entry ni sahaja lah.

    ReplyDelete