
Saya yakin, sudah terlalu banyak peringatan dan nasihat yang diberikan tentang muslimah dan gambar.
KEGHAIRAHAN
Sayangnya, keghairahan mempamer gambar masih tidak berkurang, malah ia kian menjadi-jadi. Perlumbaan demi perlumbaan diketengahkan. Tidak cukup dengan televisyen dan majalah, saluran internet menerusi laman-laman sosial menjadi sarana efektif yang melebarkan pesona muslimah.
Situasi Ini ditambah lagi dengan kemunculan kerjaya dan hobi yang dijalankan secara full-time atau part-time, yang banyak berasaskan kepada elemen kecantikan, dandanan dan paparan wajah seperti model busana muslimah, jurumekap dan jurugambar ( photographer).
Permintaan dari pasangan raja sehari untuk mengabadikan momen bersejarah dengan pelbagai aksi dan sisi juga tidak kurang hebatnya terutama ketika musim cuti sekolah di mana banyak majlis resepsi dan perkahwinan diadakan.
Tidak mengapa andai ia sekadar untuk simpanan peribadi dan tatapan kaum keluarga semata-mata, akan tetapi bila ianya dikongsi di laman maya, maka sudah pasti ada keburukan tanpa sedar tercipta darinya.







