Berbeza pandangan di antara satu sama lain adalah lumrah manusia.
Firman Allah SWT dalam Surah Hud, ayat 118:
Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki,tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu.(Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.
Namun, jika perbezaan pandangan ini tidak diuruskan dan diselesaikan dengan baik, maka ia akan mewujudkan konflik yang akhirnya sukar untuk diselesaikan. Di sinilah bermulanya kepentingan untuk melaksanakan syura.Syura adalah proses perbincangan dan perundingan untuk mengeluarkan keputusan atau untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Ia adalah merupakan sebuah medan untuk mewujudkan kesatuan pemikiran (wehdatul fikr) yang akan menjurus kepada kesatuan amal (wehdatul amal).Pandangan-pandangan yang pelbagai ini perlu digarap dan diharmonikan untuk mengeluarkan satu keputusan yang benar-benar matang demi kepentingan bersama.
Perspektif firman Allah SWT yang bermaksud:
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). (al-Hujurat: 13)
Ayat al-Quran tersebut menggambarkan kepada kita betapa manusia ini secara fitrahnya berbeza dari segi agama, bangsa, latarbelakang keluarga, pendidikan, skop kerja,tanggungjawab, kepentingan dan sebagainya.Kepelbagaian inilah yang akhirnya mewujudkan perbezaan cara pemikiran, tingkah-laku dan pembawaan. Wujudnya perbezaan pandangan kerana mereka melihat dari sudut ruang lingkup dan perspektif masing-masing.Oleh itu, mereka yang terlibat dengan syura perlu mempunyai sahsiah yang terbaik demi menerapkan roh syura dalam menyelesaikan kepelbagaian dan ketidaksatuan pandangan tersebut. Antara akhlak dan disiplin dalam mesyuarat adalah:
Positif kepada orang lain. Individu yang menyertai atau terlibat dalam mesyuarat perlu menganggap ahli-ahli mesyuarat yang lain sebagai sahabat, bukan musuh. Jika kita menganggap orang lain sebagai musuh, maka timbullah sikap negatif terhadap mereka.Setiap pandangan orang lain akan cuba disangkal walaupun ia sebenarnya tepat. Dalam sesi mesyuarat, kita akan sibuk mencari kelemahan dan kesalahan orang lain. Setiap kali kita bercakap, diungkit-ungkit kesalahan orang lain, bukannya mencari penyelesaian terhadap masalah yang berlaku. Lalu masa terbuang begitu sahaja.Mesyuarat berakhir tanpa sebarang keputusan. Hasil yang ada hanya iri hati, cemburu, api kebencian dan permusuhan.
Fokus kepada matlamat mesyuarat dengan mengkaji dan membuat analisis tentang isu yang akan dibincangkan. Semasa bermesyuarat, kita perlu memberi penerangan atau taklimat kepada anggota-anggota mesyuarat yang lain untuk memastikan mereka faham terlebih dahulu matlamat dan objektif mesyuarat tersebut. Kita juga perlu mengawal skop perbincangan agar tidak lari dari matlamat asal. Individu yang mengendalikan mesyuarat sangat berperanan memastikan mesyuarat menjadi medan yang berkesan. Kita perlu membuat persediaan sebelum memulakan sesuatu mesyuarat. Antaranya, beri ruang kepada semua pihak mengutarakan pandangannya. Seterusnya, mengharmonikan jurang-jurang perbezaan yang ada agar dapat menjaga kepentingan semua pihak. Anggota jawatankuasa atau ahli mesyuarat juga perlu mempunyai akhlak dan disiplin agar perjalanan proses mengeluarkan keputusan itu lancar. Sekiranya ruang tidak dibuka seluas-luasnya untuk bersuara, pastinya ada orang yang keluar dari bilik mesyuarat dengan perasaan tidak puas hati.Mereka juga mesti berlapang dada menerima pandangan dan teguran pihak lain. Jangan merasa tercabar seolah-olah maruahnya dipijak-pijak apabila pandangan ditolak oleh ahli mesyuarat. Tidak perlu untuk merasa hina dan melenting ketika pihak lain mempunyai pandangan kedua.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu akan menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan bersabarlah(menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati). Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (al-Anfaal: 46)
Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh yang terbaik dalam soal ini. Baginda mempamerkan sikap kepimpinan yang ideal dalam menegakkan prinsip syura ini. Walaupun Baginda adalah seorang rasul yang pastinya dibimbing oleh Allah SWT, tetapi masih memberi ruang kepada sahabat-sahabat untuk mengemukakan pandangan.Tidak ada halangan bagi mereka untuk terlibat sama dalam proses mengeluarkan keputusan kerana keputusan tersebut akan dilaksanakan untuk kepentingan bersama. Dalam peperangan Badar, Rasulullah SAW menerima pandangan Hubab r.a mengenai tempat pertempuran. Hubab r.a mencadangkan untuk tentera Islam menduduki tempat yang paling dekat dengan air kerana ia sangat penting bagi tentera dan haiwan tunggangan mereka. Dalam perang Khandak pula, Rasulullah SAW bersetuju dengan pandangan Salman al-Farisi yang berketurunan Parsi untuk menggali parit bagi berhadapan dengan tentera Ahzab. Strategi ini membantu pasukan tentera Islam berjaya dalam semua peperangan dengan pihak musuh. Demikianlah antara episod-episod betapa Rasulullah SAW menunjukkan contoh yang terbaik dalam memimpin sesebuah organisasi. Iaitu mengambil dan menerima pandangan sahabat-sahabat.
Merendah diri, jangan ego dan sombong. Sekiranya Rasulullah SAW boleh menerima pandangan sedangkan baginda adalah merupakan penghulu kepada rasul, nabi dan umat manusia, maka mengapa kita terlalu ego dan sombong untuk sekurang-kurangnya mendengar pandangan orang lain? Di sini menunjukkan kepada kita bahawa jawatan dan kedudukan yang dipegang, setinggi mana pun ia, tidak boleh menjadikan individu tersebut kebal dengan sebarang teguran dan pandangan. Lebih-lebih lagi kita adalah manusia yang tidak maksum. Memerlukan bantuan daripada sahabat-sahabat yang lain untuk menampung segala kekurangan.Jikalau tidak bersetuju dengan pandangan tersebut, maka adalah lebih baik menggunakan bangkangan yang paling lembut dan berhikmah. Kenapa perlu bertelingkah, sedangkan kita mempunyai pilihan untuk bermesyuarat dalam suasana yang cukup harmoni, aman dan penuh ukhuwah. Jangan memperkecil dan meremehkan pandangan orang lain disebabkan kedudukannya lebih rendah daripada kita. Ingat, Allah SWT yang menggerakkan fikiran seseorang itu untuk mengeluarkan buah fikiran, tidak kira tinggi atau rendah pangkatnya. Hayati firman Allah dalam surat al-Hujuraat ayat 11. Ahli mesyuarat juga perlu mengelak daripada membangkitkan isu-isu yang menyentuh perkara sensitif dan terlalu peribadi yang akhirnya menimbulkan permusuhan di kalangan anggota.Bahkan, mencetuskan dendam kesumat yang tidak akan padam.
Jauhi prasangka buruk kerana prasangka buruk ini tidak akan berlaku kecuali apabila kita mempunyai pemikiran yang negatif. Cuba mulakan segalanya dengan positif terlebih dahulu. Mendengar idea yang dikemukakan oleh orang lain memerlukan penilaian secara positif terlebih dahulu. Sekiranya kita mempunyai tanggapan yang negatif, maka kita akan cenderung untuk menolaknya walaupun sebenarnya ia mempunyai kebaikan untuk
organisasi.
Ingatlah firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat, ayat 12.
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah di antara kamu mengunjing sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang.
Sebenarnya, konsep syura bukan hanya berlaku semasa waktu mesyuarat sahaja, tetapi ia juga perlu diaplikasikan dalam rutin kehidupan harian di tempat kerja atau di rumah.Bayangkan seorang suami mengaplikasikan konsep syura dalam rumahtangganya. Tentulah akan mewujudkan suasana yang cukup bahagia dan tenteram. Begitu juga sebuah institusi yang mempunyai masalah dan konflik dalaman yang begitu parah. Ia tidak akan dapat diselesaikan melainkan dengan aplikasi semangat syura. Kita melaksanakan syura bukan kerana memenuhi prosedur syarikat atau organisasi semata-mata, tetapi lebih besar daripada itu adalah disebabkan perintah dan arahan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
..dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhan dan menunaikan solat, sedang urusan mereka mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka, dan menginfakkan sebahagian rezki yang Kami berikan kepada mereka. (asy-Syura: 38)
Malahan syura ini juga penting sebagai menjaga keberkatan dan rahmat Allah dalam satu perkara yang telah di putuskan bersama.Hal ini kerana kelompangan-kelompangan yang mencacatkan agenda mesyuarat seperti tidak bersungguh dalam menyertainya dan membuat keputusan yang terburu-buru tanpa rujukan yang shohih juga akan memberi kesan jangka panjang terhadap sesuatu hal yang telah diputuskan. Terutamanya apabila ia melibatkan hal dakwah.Bahkan berkat mesyuarat menyebabkan tertangguhnya sebarang azab yang hendak diturunkan dan akan mempercepatkan turunnya rahmat Allah taala Sejauhmana kesucian Islam itu dipertahankan dalam konsep syura maka itulah yang akan memberi jawapan kepada keberkesanan dakwah kita kepada manusia.
Sumber: penacomel @ episodperjuangan.blogspot
Jan 28, 2011
Meeting ia bukan sesuatu yang simplistic.
Labels:
Pengisian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment