“Ayah percaya tak pada syurga?”
Si kecil Jeffery melontar soalan pada ayahnya ketika berjalan dengan anjing mereka merentasi pantai, jelas kanak-kanak ini mempunyai minda inkuiri yang tinggi. Juga tanda dia mendasarkan perkara pada kelogikan dan penilaian secara rasional. Tidak mengejutkan, bahawa kemudiannya si kecil ini mendewasa sebagai profesor matematik, satu bidang yang hanya menjadi tempat bagi logik semata.
Pada tahun-tahun akhirnya di Notre Dam Boys High, sebuah sekolah Katholik, Jeffery membentuk penolakan rasional berkenaan kepercayaan pada kewujudan yang Maha Agung (The Supreme Being). Perbincangan dengan paderi, ibu bapanya dan rakan sekelas tidak dapat meyakinkan dia akan kewujudan Tuhan. Hasil muktamadnya, Jeffery bertukar menjadi ateis pada usia 18 tahun. Dia terus kekal ateis selama 10 tahun berikutnya, sepanjang pengajian sarjana muda, sarjana, dan PhD. Tidak lama sebelum atau selepas menjadi ateis dia bermimpi perkara berikut:
Saya berada di bilik kecil tanpa perabot dalamnya. Hanya karpet bercorak merah putih menghiasi lantainya. Dalam bilik itu juga ada jendela kecil, di posisi atas dan mendepani kami, memenuhi bilik dengan cahaya terang. Kami dalam beberapa barisan, dan saya di barisan ketiga.Di situ tiada wanita, hanya lelaki sahaja. Kami duduk atas betis kami, menghadap tingkap tadi.
Rasa asing. Tiada seorang pun saya kenal. Mungkin saya di negara lain. Kami tunduk sujud dengan seragam, dengan muka menyentuh lantai. Suasana tenang dan sunyi, bagai bunyi sudah hilang. Dengan serentak kami duduk di atas betis kami. Saya pandang ke depan, sedar bahawa kami diketuai seseorang. Dia berdiri seorang di hadapan, dan hanya dapat melihat rupanya sekilas sahaja, selebihnya belakangnya. Lelaki ini memakai jubah putih yang labuh, dengan tudung putih bercorak merah di kepala. Pada ketika itu saya pun terbangun dari mimpi.
Dalam fasa 10 tahun dia menjadi ateis, sudah banyak kali Jeffery mengalami mimpi yang sama. Mimpi itu sama sekali tidak menghantui hidup beliau, sebaliknya berasa ketenangan amat apabila bangun dari mimpi. Tanpa dapat mentafsirkan mimpi pelik tersebut, Jeffery tidak mengendahkan mimpi tersebut walaupun berlaku berulang kali.
Sekali lagi 10 tahun kemudian berlalu, dan ketika kuliahnya yang pertama di Universiti San Fransisco, Jeffery bertemu seorang pelajar Muslim yang menghadiri kelas matematik beliau. Dengan cepatnya, pelajar itu menjalinkan persahabatan dengan Jeffery. Dalam perbualan mereka, agama tidak diamsukkan dalam topik diskusi mereka bersama keluarga pelajar Muslim ini. Sehinggalah….seorang ahli keluarga pelajar Muslim tadi memberinya senaskah salinan Al-Quran.
(Akan bersambung nanti)
No comments:
Post a Comment