Sep 14, 2010

MASIH SEPERTI BIASA

31 OGOS 2010 - Wisma Merdeka, Kota Kinabalu. Laungan 'MERDEKA' bergema lagi. Walaupun kali ini tiada sambutan hangat seperti yang berlaku 2 tahun lepas namun situasi tidak jauh berbeza seperti sambutan Kemerdekaan terdahulu mahupun sambutan tahun baru yang lepas-lepas. Bunyi bising menyelubungi Bandar Kota Kinabalu seawal pukul 11 malam lagi. Deruman enjin kereta mahupun motorsikal menghangatkan lagi suasana. Tepat sahaja detik 12 tengah malam, bunyi mercun dari sebuah kereta proton WAJA membingitkan lagi suasana. Anak muda yang menunggang motorsikal menunjukkan aksi mereka.



Di sekitar 'port' Wisma Merdeka dipenuhi orang ramai. Ada yang bersama keluarga mahupun pasangan yang sedang hangat 'beraksi' tanpa segan silu. Pelancong asing kelihatan tersenyum melihat 'kehangatan' malam 'MERDEKA' yang ditunjukkan oleh anak muda yang seakan lupa bahawa mereka berada di bulan yang penuh barakah. Begitu la 'kehangatan' yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia terutamanya remaja yang di bawah belasan tahun dan ada juga sebaya penulis serta ada juga yang lebih tua dari penulis. Penulis bukan hendak menghukum mana-mana pihak tetapi hendak berkongsi kepada semua pembaca mengenai situasi malam 'MERDEKA' yang tiap tahun diraikan oleh remaja dan belia negara kita. Mungkin ini yang dikatakan merdeka bagi mereka. Dengan melaungkan perkataan 'MERDEKA', mereka telah merdeka. Walaupun hakikatnya kita masih terjajah dari pelbagai aspek terutamanya minda kita.

Penulis turun menjenguk suasana 'kehangatan MERDEKA' bersama beberapa orang sahabat penulis melihat sendiri bagaimana gelagat warga sekitar Kota Kinabalu meraikan ambang kemerdekaan Negara kita yang ke-53. Di samping mengedarkan risalah khas 'MERDEKA' untuk bacaan orang ramai, kami hanya dapat tersenyum dan mengharapkan risalah yang diberikan dibaca dan dapat memberi sedikit info mengenai apa sebenarnya yang patut kita buat untuk 'MERDEKA'. Penulis sempat 'ditemu ramah' oleh seorang abang mengenai edaran risalah yang kami berikan. Abang tersebut berharap usaha kami ini diteruskan untuk masa depan yang tidak tahu apakah kesudahannya.

Satu adegan yang menarik penulis saksikan ketika mengedarkan risalah di setiap kereta yang parking di tepi jalan. Sebuah kereta proton saga, dengan cermin tertutup dan didalamnya dua orang berlainan jantina sedang memadu asmara. Nasib baik ada kereta polis datang dan adegan tersebut 'tergantung'. Penulis hanya dapat meletakkan risalah di tepi tingkap dan tersenyum ke arah kereta berkenaan. Mungkin mereka terkejut kereta polis berhenti di sebelah jalan. Kereta polis berhenti dan menahan sekumpulan remaja bermotorsikal yang penulis rasa tengah 'angau'.

Habis sahaja mengedarkan risalah, penulis dan sahabat penulis beredar dari tempat kejadian menuju destinasi yang biasa kami kunjungi iaitu PARVIS. Setibanya di sana, sahabat penulis yang mengedarkan risalah di Pantai Tanjung Lipat lebih awal sampai dan tengah menjamu selera. Sehabis menjamu selera, kami beredar ke rumah yang sering dikunjungi oleh masyarakat muslim kalau nak terawih. Rasanya semua dapat meneka ke mana arah kami. Malam itu, kami bermalam di situ sehingga keesokkan harinya barulah kami masuk ke kampus.

Rentetan perjalanan semalam membuatkan penulis tidak dapat tidur dengan nyenyak. Penulis teringat semasa penulis berada di asrama 4 tahun yang lalu. Ketika ambang kemerdekaan, penulis bersama warga asrama Seri Cemara menyambut Kemerdekaan bersama dengan Pengetua, Penyelia dan juga felo. Ketika ambang kemerdekaan kami disajikan dengan puisi kemerdekaan dan sedikit ucapan dari pengetua dan diakhiri dengan nyanyian Lagu Negaraku dan laungan 'MERDEKA' oleh pengetua. Sebelum itu, bagi yang muslim kami beramai-ramai solat hajat selepas Isyak. Walaupun sambutan hanya sedimikian, namun kesan dan cara itu yang patut diterapkan oleh masyarakat kita pada masa kini. Penulis sempat membaca akhbar mengenai sambutan kemerdekaan yang dibuat di Kelantan. Alhamdulillah, satu pendekatan yang baik bagi umat Islam. Begitu juga dengan Negeri Pulau Pinang yang majoriti penduduknya adalah kaum Cina. Pelaksanaan sedemikian yang patut kita terapkan dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini.

Semoga apa yang penulis kongsi kali ini, memberi sedikit maklumat ataupun dapat membuka minda sahabat-sahabat mengenai apa yang berlaku sebenarnya kepada masyarakat kita, khususnya belia dan remaja kita pada masa kini. Bagi yang muslim, ingat sahabat-sahabat sekalian :
"Allah telah memuliakan kita dengan Islam, dan dengan Islam kita menjadi mulia"
(Hj. Fadzil Mohd Noor)

2 comments: