Manusia bagaikan terlupa... Terlupa akan cinta agung Rasulullah S.A.W kepada umatnya, sedangkan baginda tidak pernah bertemu dengan kita. Kasih Rasulullah S.A.W kepada umat, cinta agung sepanjang hayat. Walaupun nyawa Baginda sudah di hujung sakarat, cinta Baginda terhadap umatnya masih didakap hingga ke akhirat.
Pesanan Nabi Muhammad S.A.W di khutbah Wadak,
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap seorang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikanlah harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemilik yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu...Mesej kasih sayang Nabi sangat kental. Sebelum mencintai Nabi, kasihi dahulu sesama manusia. mana mungkin mulut memuji sedangkan tangan dan kaki menyakiti saudara sendiri, tambahan lagi, andai amalan yang diberikan dijarahkan tanpa simpati.
Hati-hati kata Nabi, sebelum mencintai Baginda, bersihkan dahulu jasad dari perkara yang syubhah apatah lagi yang terang-terang mazmumah. Andai bersekongkol dengan syaitan, segera bertaubat. Pesanan Nabi itu terasa mudah, tetapi amat sukar untuk melaksanakannya.
Sabda Nabi:
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberikan makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang berzina.Jelas, sebelum mencintai Nabi, jangan sesekali diabaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Segala apa yang Nabi minta umatnya lakukan memandu kita untuk memiliki kasih Nabi. Bolehkah kita mencintai Nabi, tapi, dalam masa yang sama tidak melakukan apa yang telah diperintahkan Allah dan Rasul-Nya, terutamanya dalam soal ibadah?
Andai benar kita mencintai Nabi, sudah terujikah cinta kita terhadap Baginda? Sedangkan Al-Quran sangat sedikit dibaca, As-Sunnah kadang-kadang sahaja dapat dilaksanakan? Dan apa erti cinta andai tiada pengorbanan? Kalau kerana si kekasih kita sanggup buat apa sahaja, kenapa tidak untuk Rasulullah?
Dewan Masyarakat, Isu November 08
burung ni mkn ape yerk?
ReplyDeleteerk.. macam salah comment jek..
ReplyDelete