Ya, ceramah tersebut amat menarik. pengarang masih lagi diberi kesempatan untuk mengikutinya dan apa yang boleh dikatakan ialah, masa terasa seperti amat cepat berlalu ketika muslimin dan muslimat sedang asyik mengisi ruang fikiran dengan bermacam-macam ilmu baru. Pada malam tersebut, bilangan muslimin yang hadir untuk bersolat Maghrib secara berjemaah dilihat seperti biasa, dalam lingkungan 25 orang, dan bilangan tersebut bertambah dengan masa. Selang beberapa minit pemasangan dan penyediaan tempat dan alatan selesai dalam pukul 6.30 petang, penceramah pun tiba. Penceramahnya merupakan seorang yang mempunyai latar belakang yang menarik, iaitu Ustaz Haji Mohd Syahir bin Ismail.
Ustaz Haji Mohd Syahir bin Ismail
Berikut adalah sedikit latar belakang beliau:
- Bertugas sebagai Pensyarah Bahasa Arab dan Tamadun Islam di Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya (IPG Kampus Gaya) di Kota Kinabalu, Sabah.
- Mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin di Universiti Yarmouk, Jordan.
- Merupakan Pelajar Sarjana di Universiti Malaysia Sabah.
- Merupakan penceramah agama & motivasi di IPTA & IPTS serta jabatan-jabatan kerajaan dan swasta.
- Penceramah kursus perkahwinan.
- Penceramah Radio Malaysia Sabah.
Dengan pengalaman beliau dan cara beliau menyampaikan ceramah pada malam tersebut, kami dapat tahu bahawa beliau merupakan seorang yang berpengalaman dalam kegiatan dakwah.
Majlis yang diberkati ini bermula pada jam 6.45 petang. Ustaz jemputan berjaya mengambil perhatian muslimin dan muslimat pada malam itu dengan pelbagai kisah menarik seperti kisah Nabi Sulaiman a.s yang diberi mukjizat oleh Allah Subhanahu wa ta'ala untuk mengawal dan berkomunikasi dengan makhluk-makhluk lain seperti haiwan dan jin yang telah berdialog bersama seekor semut. Kisah tersebut memberi seribu satu pengajaran kepada kita. Subahanallah.
Klik imej di atas untuk membaca kisah tersebut.
Selain itu, banyak nasihat dan fenomena yang disampaikan oleh penceramah tersebut seperti ramai orang Melayu yang mundur ke belakang akibat kemalasan membaca. Sesungguhnya, darjat seseorang yang tidak membaca, seseorang yang membaca, seseorang yang membaca dan faham dengan bacaannya itu dan seseorang yang membaca, faham dengan bacaannya itu dan mengamalkannya adalah jauh berbeza. Dalam salah satu buku karya Imam Al-Ghazali, beliau menyatakan agar kita tidak meninggalkan pembacaan al-Quran lebih daripada 3 hari kerana akan timbul bintik-bintik hitam dalam hati, dan semakin lama, hati akan menjadi hitam dan tiada cahaya mampu untuk menembusinya. Maka seseorang itu akan mudah melakukan dosa dan susah untuk menerima sebarang kebaikan. Nauzubillah.
Kubur Imam An-Nawawi di Syria |
Setiap yang bernyawa pasti akan bertemu ajalnya, dan Sabda Nabi Muhammad Sallallahu alayhi wa sallam:
“Apabila mati seseorang anak adam itu .. maka akan terhenti segala amalanya kecuali 3 perkara iaitu sedakah jariah, ilmu yang memberi guna, doa anak – anak yang soleh.”
Salah satu aset kita di sana ialah ilmu yang bermanfaat. Sesungguhnya, sebaik-baik orang ialah orang yang belajar al-Quran, beramal dengan ajarannya, dan menyampaikan ilmu tersebut, walaupun hanya 1 huruf. Seseorang yang menghafaz al-Quran dengan niat ikhlas kerana Allah Subhanahu wa ta'ala pula boleh memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya yang terdekat pada akhirat kelak. Begitulah pentingnya amalan membaca dan begitulah pentingnya al-Quran.
Ustaz pada malam itu juga telah menyentuh aspek kebersihan dan kekurangan kesedaran umat Islam dalam aspek tersebut. Penceramah turut bercerita mengenai pengalaman abangnya yang berpeluang untuk ke Jepun dan kebersihan di sana amat diberatkan dan mereka juga amat menghargai masa dalam kehidupan seharian mereka. Perkara-perkara yang sihat seperti ini haruslah menjadi ikutan umat Islam di serata dunia agar kita dapat membangunkan agama Islam di samping memberi daya tarikkan kepada penganut agama lain kepada agama Islam kerana menjaga kebersihan juga sebenarnya salah satu usaha dakwah. Umat Islam pada zaman Rasulullah Sallallahu alayhi wa sallam, seperti Bilal bin Rabbah, walaupun tidak begitu menarik penampilannya, giginya yang cantik akibat selalu bersugi menampakkan dirinya sebagai seorang yang amat bersih dan terurus. Kebersihan dan bersugi amat digalakkan dalam Islam sehingga bersugi sebelum bersolat hampir-hampir menjadi sesuatu perkara yang wajib dalam Islam. Bersugi atau miswaak atau siwak sebelum bersolat merupakan sunat muakkad iaitu perkara sunat yang amat dituntut dalam Islam.
Akhir sekali, penceramah menyentuh tentang akhlak. Apabila Aisyah radiallah an ha (r.a) ditanya mengenai akhlak Rasulullah Sallallahu alayhi wa sallam, beliau hanya menjawab: akhlak Rasulullah Sallallahu alayhi wa sallam ialah al-Quran. Begitulah mulianya akhlak dan diri junjungan besar umat manusia sehinggakan akhlak baginda ialah al-Quran al-Karim itu sendiri... Subahanallah.
Penceramah memberi beberapa nasihat kepada para pendengar seperti, menjaga amanah yang telah diberikan kepada kita semua termasuklah akhlak kepada diri, ibu bapa, keluarga, masa dan Allah Subhanahu wa ta'ala. Katanya, untuk menjadi seorang yang berjaya, kita mestilah menjaga 3 perkara iaitu disiplin, amanah dan masa dan beliau mengingatkan pendengar mengenai 7 golongan yang akan mendapat syafaat daripada Allah Subhanahu wa ta'ala pada akhirat kelak:
- Penguasa yang adil.
- Seorang remaja yang gigih di jalan Allah.
- Seseorang yang terpaut hatinya dengan masjid.
- Dua orang yang berkumpul & beribadah kerana Allah dan bersedih apabila dipisahkan oleh Allah.
- Seorang laki-laki yang takut dan menolak ketika diajak berzina oleh wanita yang cantik.
- Sedekah, ketika tangan kiri tidak mengetahui apa yang dikeluarkan oleh tangan kanan.
- Seseorang yang senantiasa berlinang air mata ketika mengingat Allah.
Akhir kata, setiap manusia yang mempunyai akal dan daya pemikiran yang baik menginginkan kesudahan yang baik, dan kesudahan yang baik ialah Jannah dan kesudahan yang buruk ialah Neraka Jahannam. Penceramah juga pernah menyatakan kedalaman neraka, di mana jika seketul batu dilemparkan kedalamnya, masa yang diambil untuk batu tersebut sampai ke dasar neraka ialah 70 tahun. Begitulah kedalaman dan kegerunan yang ada pada neraka Allah.
Sedar tidak sedar, sudah hampir 2 jam kami semua berada dalam majlis tersebut. Pada jam 8.20 malam, majlis tersebut selesai dan penceramah diberikan cenderamata daripada AJK kelab Nur E-man dan setalah itu, kami menunaikan solat Isya' secara berjemaah dan makan sedikit jamuan secara berjemaah yang telah disediakan oleh AJK kelab. Setelah mendengar ceramah ini dan mengamalkan segala kebaikan yang disampaikan oleh penceramah, katanya, barulah terjadinya
langit terbuka, hati pun terbuka.
In Shaa Allah.
Berikut adalah beberapa gambar yang sempat diambil dalam majlis tersebut:
Ketibaan penceramah jemputan setelah selesai solat Maghrib secara berjemaah. |
Ustaz banyak bercerita mengenai pengalamannya. |
Muslimin mendengar setiap kata-kata ustaz dengan asyik. |
Para muslimat yang asyik menimba ilmu dalam majlis tersebut. |
Banyak ilmu dan pengalaman yang telah dikongsi oleh ustaz. |
Sedikit pemberian cenderamata kepada Ustaz Haji Mohd Syahir bin Ismail sebagai tanda penghargaan. |